KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Prospek sektor utiliti Malaysia kekal cerah memandangkan ruang tenaga boleh baharu mempunyai potensi pertumbuhan yang kukuh, dengan beberapa pemacu utama bersedia untuk meningkatkan prestasi jangka masa pendeknya.
Dalam nota penyelidikan pada Jumaat, RHB Investment Bank Bhd menjelaskan pencapaian pertumbuhan pusat data jangka masa panjang adalah penting untuk peralihan tenaga Malaysia.
Ini kerana permintaan elektrik oleh pusat data diperlukan untuk menyokong peningkatan berterusan dalam infrastruktur penghantaran dan pengedarannya, tambah bank pelaburan itu.
“Permintaan elektrik meningkat 6.2 peratus tahun ke tahun pada tahun kewangan 2024, sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan daripada segmen komersial dan domestik.
“Kami yakin pertumbuhan permintaan elektrik jangka masa terdekat akan kekal kukuh, disokong oleh peningkatan penggunaan beban sebenar daripada projek pusat data yang telah siap,” jelasnya.
Menurut RHB Investment sehingga tahun kewangan 2024, terdapat 18 projek pusat data yang telah siap dengan jumlah kapasiti terkumpul 1.9 gigawatt (GW).
“Kami menyaksikan sedikit peningkatan penggunaan beban sebenar suku ke suku kepada 405 megawatt (MW) setakat Disember 2024 daripada 248MWs pada 4 September,” jelasnya.
Menurut bank pelaburan itu, Tenaga Nasional Bhd menyaksikan tiada kelembapan bagi projek pembangunan dan pertanyaan berkenaan pusat data walaupun sekatan eksport cip Amerika Syarikat terkini kerana sebahagian besar projek pusat data berkaitan bukan kecerdasan buatan.
“Selain itu, semua projek ini diarahkan dari sama ada China atau entiti yang disokong China,” tambahnya.
-- BERNAMA