SUBANG JAYA, 14 Mac (Bernama) -- Seniwati Datuk Dr Sarimah Ahmad merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Komunikasi yang membantu mendapatkan semula empat filem beliau daripada sebuah syarikat produksi.
Pelakon legenda tanah air berusia 83 tahun itu bersyukur penantian selama 36 tahun untuk mendapatkan filem “Dia Ibuku”, “Jejak Bertapak”, “Kabus Tengah Hari”, dan “Detik 12 Malam” yang diambil oleh syarikat produksi terlibat di bawah perjanjian tayangan pada 1989, akhirnya tercapai.
Beliau yang sebak dan tidak mampu membendung air mata juga menyuarakan hasrat untuk bertemu dengan Perdana Menteri.
“Saya mengucapkan terima kasih terutama kepada Kerajaan MADANI, khususnya kepada Perdana Menteri kita, saya tak dapat membalas budinya. Cuma Allah saja yang mampu membalas budi beliau (Anwar).
“Saya doakan beliau (Anwar) diberi kekuatan untuk menghadapi segala ujian, saya tak pernah berjumpa berdepan dengan beliau, hanya sekali itu pun kami berselisih ketika saya sedang merakam penggambaran filem,” katanya ketika ditemui di rumah anaknya di sini hari ini, dalam program Ziarah Seni MADANI FINAS yang dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS Rozaidi Abdul Jamil, dan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez.
Pada program itu, Teo turut menyerahkan sumbangan wang tunai dan keperluan asas bagi meringankan beban Sarimah yang kini pulih daripada kanser usus selepas disahkan menghidap penyakit itu pada 2022.
Teo berkata Kementerian Komunikasi akan berusaha menunaikan hasrat Sarimah untuk bertemu Perdana Menteri dalam tempoh terdekat.
Mengenai perkembangan kesihatan Sarimah, anak bongsunya, Yusarima Puteri Yusof, 54, berkata seniwati itu dimasukan ke unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital kerana penyakit diabetik, baru-baru ini.
Yusarima Puteri berkata selepas Sarimah dibenarkan keluar dari hospital, keadaan kesihatan pelakon filem “Madu Tiga” dan “Tiga Abdul” itu tidak begitu memberangsangkan dan memohon semua pihak, khususnya peminat untuk terus mendoakan kesejahteraan ibunya.
Pelakon ikonik era 1960-an dan 1970-an juga pernah membintangi pelbagai filem popular malar segar seperti “Ali Baba Bujang Lapok” dan “Labu Labi”.
Sepanjang kariernya, Sarimah pernah merangkul pelbagai anugerah, termasuk Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaya 1970, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) kedua 1980 serta Anugerah Khas Seniwati Sepanjang Zaman FFM 32 pada 2022.
-- BERNAMA