AM

USAHA BERI PENEKANAN PELAJAR ASRAMA PENUH SERTAI STEM PENTING UNTUK CAPAI SASARAN 60,000 JURUTERA

14/03/2025 04:51 PM

ARAU, 14 Mac (Bernama) -- Usaha memberikan penekanan supaya 70 peratus pelajar di sekolah berasrama penuh di negara ini memilih aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) adalah penting untuk mencapai sasaran 60,000 jurutera diperlukan bagi memenuhi permintaan industri.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tumpuan kepada bidang berkenaan akan memberikan peluang lebih besar kepada para pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) jika mendapat keputusan baik.

“Semua sekolah berasrama penuh telah diberikan penekanan bahawa 70 peratus ini hendaklah bertumpu kepada STEM...ini bagi memberikan bekalan kepada universiti MTUN supaya pelajar lepas sekolah menengah yang mempunyai keputusan baik dalam bidang STEM ini dapat terus disalurkan ke universiti MTUN ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerjanya di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini hari ini. Turut serta Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zaliman Sauli dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Mohamad Haris Kader Sultan.

Rabu lepas media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan 70 peratus pelajar di sekolah berasrama penuh memilih aliran STEM bermula tahun hadapan bagi memperkukuh penguasaan dalam bidang berkenaan.

Sementara itu Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara berkata UniMAP yang turut mempunyai Pusat TVET berada di barisan hadapan untuk memacu kewujudan 60,000 jurutera yang diperlukan dalam pasaran kerja.

Timbalan Perdana Menteri berkata peruntukan RM1 juta telah diluluskan kepada UniMAP dengan RM200,000 daripada jumlah itu digunakan untuk mengendalikan kursus berkaitan elektrik dan elektronik (E&E), manakala RM800,000 adalah bagi peralatan latihan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Majlis TVET akan terus membantu UniMAP kerana universiti itu juga melaksanakan latihan dalam bidang Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Aras Tinggi (Hi-TVET).

“Yang paling penting sekali memberikan latihan upskilling yang memberikan sijil kepada pelatih-pelatih untuk menambah nilai kepada graduan dalam bidang E&E bagi mendapatkan gaji premium apabila mereka diambil bekerja oleh syarikat antarabangsa dan tempatan,” katanya.

Dalam lawatan kerja itu, Ahmad Zahid antara lain diberikan taklimat berkaitan Pusat Kecemerlangan Latihan Teknologi Semikonduktor serta menyertai sesi bagi membincangkan keperluan bakat dan bidang Advanced Packaging yang melibatkan pengurusan UniMAP dan pihak NCIA, selain menyaksikan penyerahan dokumen Memorandum Perjanjian (MoA) antara UniMAP dengan 25 pihak industri.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan