AM

KPDN P. PINANG BONGKAR SINDIKET SELEWENG MINYAK MASAK BERSUBSIDI, RAMPAS RM129,869

14/03/2025 05:47 PM

BUKIT MERTAJAM, 14 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menumpaskan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi selepas menyerbu sebuah stor haram di Seberang Perai Selatan dekat sini semalam.

Pengarah KPDN Pulau Pinang S. Jegan berkata selain minyak masak, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan seperti pisau lipat, motor pam dan hos, bakul plastik pelbagai saiz dan tong plastik hitam bernilai RM129,869 serta resit bil elektrik atas nama seorang individu.

Beliau berkata serbuan itu dibuat hasil aduan orang awam yang memaklumkan terdapat kegiatan mencurigakan di stor berkenaan sebelum penguat kuasa KPDN Pulau Pinang menjalankan risikan dan intipan sejak dua minggu lepas, dan menyerbu premis itu pada 8.30 malam tadi.

“Terdahulu, pasukan kami mengesan sebuah lori di Jawi dekat sini milik sindiket itu, yang dipercayai berperanan mengambil minyak masak paket bersubsidi sekilogram di beberapa lokasi sekitar negeri ini sebelum membawanya ke stor itu. Kami mengekori lori itu sehingga ke stor haram yang terletak agak jauh dari jalan besar.

“Semasa serbuan ke atas stor haram itu, pasukan penguat kuasa KPDN mendapati enam lelaki sedang menjalankan kerja-kerja memotong paket minyak masak bersubsidi itu untuk memindahkan cecair dalam tangki Bekas Pukal Perantaraan (IBC),” katanya kepada media di Kompleks Penyimpanan KPDN di Bukit Minyak di sini hari ini.

Jegan berkata hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati pemilik stor gagal mengemukakan dokumen berkaitan lesen atau permit untuk memiliki dan menguruskan barang kawalan berjadual seperti yang diwajibkan di bawah undang-undang.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati stor itu menyimpan 2,300 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi dalam bungkusan asal dan sejumlah plastik kosong yang telah dipotong.

“Kami juga menemukan 9,500kg minyak masak paket bersubsidi yang telah diisi ke dalam tangki IBC dan tong drum plastik biru dengan anggaran 750kg serta 1,200kg minyak masak bersubsidi paket sekilogram dalam lori yang disimpan dalam keadaan mencurigakan.

“Kami turut menemukan 11 unit tangki IBC berkapasiti 1,000 liter dan lima unit tong drum plastik berwarna biru berkapasiti 200 liter yang kesemuanya kosong,” katanya, yang menambah sindiket berkenaan dipercayai menjalankan kegiatan penyelewengan itu sejak setahun lepas.

Jegan berkata sindiket mendapatkan bekalan minyak masak daripada pemborong, pembekal atau orang tengah sebelum ia dipindahkan ke tangki IBC atau tong drum dan menjualnya kepada pihak industri dengan harga lebih murah daripada pasaran.

“Sindiket itu beli minyak masak paket bersubsidi dengan harga RM2.50 manakala harga pasaran (minyak masak tanpa subsidi) pula RM5 dan kalau mereka jual kepada industri dengan harga RM4, sindiket itu mampu mengaut keuntungan RM1.50 bagi setiap kilogram,” katanya, yang menambah pihaknya sedang mengesan pihak yang membeli minyak masak daripada sindiket berkenaan.

Selain itu, Jegan berkata siasatan turut mendapati sindiket itu mendapatkan bekalan minyak masak paket bersubsidi daripada empat syarikat pembungkusan semula iaitu tiga di Pulau Pinang manakala satu di Kedah dan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut sama ada syarikat terbabit turut terlibat dengan kegiatan berkenaan.

Beliau berkata sindiket itu juga mengambil peluang menjalankan kegiatan memindahkan minyak masak bersubsidi ke IBC dan tong drum pada waktu berbuka sejak awal Ramadan lepas bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan pihaknya juga telah mengenal pasti pemilik stor haram itu.

“Sebaik minyak masak paket bersubsidi itu sampai di stor haram itu, pekerja di situ bertindak menjalankan kerja memotong bungkusan plastik dan memindahkannya ke dalam tong dengan segera bagi mengelak kegiatan penyelewengan mereka,” katanya, yang menambah enam lelaki berusia 20 hingga 40 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan pelanggaran Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974.

Beliau berkata kerajaan menyediakan 3,084 metrik tan minyak masak bersubsidi di Pulau Pinang setiap bulan, namun kegiatan penyelewengan seperti itu menyebabkan pengguna susah mendapatkan bekalan berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan