KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Defisit Belanjawan Malaysia diunjur lebih mengecil pada 3.9 peratus bagi 2025, kata BIMB Securities Sdn Bhd.
Pengurangan itu didorong oleh gabungan perolehan hasil lebih tinggi, perbelanjaan operasi (opex) yang lebih berhemah selain perbelanjaan pembangunan yang rendah.
“Bagi kemajuan masa depan, defisit fiskal itu diunjur mengecil sebagaimana disasarkan dalam Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023,” katanya.
Firma pembrokeran itu berkata demikian dalam nota penyelidikan ekuiti patuh Syariah bertemakan “Retargeting RON95 Subsidy - Go or No Go.”
BIMB berkata rasionalisasi subsidi bagi opex, potensi asas cukai lebih meluas bagi hasil dan beralih kepada model kerjasama awam-swasta untuk projek infrastruktur besar dan bukan infrastruktur sebagaimana dinyatakan dalam Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030).
Selain itu, inflasi pula diunjur pada 2.0 peratus hingga 3.5 peratus dalam 2025 ketika skala sebenar pengurangan subsidi RON95 itu masih belum ditetapkan.
Kementerian Kewangan mengunjurkan kadar inflasi itu dalam julat 2.0 peratus hingga 3.5 peratus pada 2025, sebahagiannya disebabkan oleh peralihan berperingkat ke arah mekanisme subsidi bersasar, khususnya bagi RON95 dan diesel.
Rasionalisasi subsidi RON95 dijangka bermula menjelang pertengahan tahun ini.
Pada 2024, kadar inflasi teras mencecah 1.8 peratus yang jauh lebih rendah daripada unjuran Indeks Harga Pengguna (IHP) oleh kerajaan pada 2.1 peratus hingga 3.6 peratus bagi 2024 sepertimana dinyatakan dalam Belanjawan 2024.
Tanpa mengambil kira 2021 akibat faktor pandemik, julat unjuran inflasi lazimnya mempunyai jurang 1.0 peratus.
Purata kadar inflasi bukan makanan adalah 1.6 peratus pada 2024 (2023: 1.3 peratus) memandangkan hanya subsidi diesel disasarkan semula di bawah kategori bahan api.
Jurang besar unjuran inflasi bagi 2025 secara tidak langsung membayangkan ketidaktentuan skala atau saiz pengurangan subsidi serta mekanisme pada tahap harga.
Menyentuh harga RON95, BIMB mengunjurkan harga akan diapungkan sepenuhnya menjelang Julai 2025 dan 85 peratus daripada pendudukan akan menerima bantuan tunai sepertimana dinyatakan oleh Pangkalan Data Utama (PADU).
Ini akan mempunyai mekanisme sama seperti subsidi diesel bersasar dan bantuan tunai menerusi program Budi MADANI.
Dalam dasar fiskal terbaharunya, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM12 bilion bagi 85 peratus penduduk negara ini.
“Berdasarkan unjuran kami, setiap individu akan menerima RM33 sebulan dan jika isi rumah seramai empat orang, mereka akan menerima RM133 sebulan,” katanya.
Dalam pada itu, berdasarkan unjuran BIMB, harga pasaran RON95 adalah RM2.83 seliter manakala minyak mentah Brent US$75 setong jika diapungkan sepenuhnya.
“Ini juga berdasarkan penurunan kecil perbandingan dolar AS-ringgit dan penyusutan harga purata minyak mentah pada 2025.
“Paras harga yang dijangkakan adalah penting dalam kajian ini dan disifatkan sebagai pembolehubah tetap. Kami mengandaikan harga minyak global kekal pada purata US$75 setong,” katanya.
-- BERNAMA