AM

PENGARAH SYARIKAT DITIPU SINDIKET BEC, KERUGIAN LEBIH RM250,000

14/03/2025 06:06 PM

IPOH, 14 Mac (Bernama) -- Seorang pengarah syarikat barangan perkakasan dapur kerugian lebih RM250,000 selepas menjadi mangsa penipuan Business Email Compromise (BEC) awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal berkata pihaknya menerima laporan semalam daripada seorang lelaki berusia 44 tahun yang menyedari dirinya ditipu sindiket penipuan dalam talian. 

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati mangsa menerima emel pada 3 Mac lepas daripada rakan niaga dalam urusan jual beli di luar negara yang melarang pihaknya membuat sebarang pembayaran kerana akaun syarikat itu bermasalah. 

"Mangsa telah menerima satu pesanan emel sekali lagi keesokan harinya dan syarikat pembekal luar negara tersebut memberikan akaun kewangan baharu untuk membolehkan mangsa meneruskan urusan pembayaran bagi pembelian perkakasan dapur," katanya.

 Beliau berkata pekerja syarikat perkakasan dapur itu telah menguruskan pembayaran pembelian sebanyak RM258,401 berdasarkan maklumat akaun bank baharu tersebut yang berpangkalan di Hong Kong.

Bagaimanapun, menurut Bakri syarikat mangsa menerima makluman daripada pembekal luar negara itu bahawa maklumat akaun mereka tidak mempunyai sebarang perubahan serta tidak menghantar emel kepada syarikat mangsa berhubung perubahan itu. 

"Mangsa mengesyaki dirinya telah ditipu serta emel syarikatnya telah digodam dan telah membuat laporan polis serta aduan kepada pihak berkuasa dan bank di Hong Kong," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan siasatan masih dijalankan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan