EKONOMI

PERTAMA DIGITAL CADANG AMBIL ALIH DUA FIRMA SEBAGAI SEBAHAGIAN DARIPADA PELAN REGULARISASI

14/03/2025 09:24 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Pertama Digital Bhd berhasrat untuk mengambil alih dua syarikat yang menyediakan perkhidmatan pemasangan, penyelenggaraan, pengurusan dan sokongan untuk sistem pengawasan serta teknologi sebagai sebahagian daripada strategi perniagaan jangka panjang kumpulan dan pelan regularisasi yang dicadangkan.

Penyedia penyelesaian e-pembayaran itu membuat pengumuman tersebut hari ini berikutan pemberitahuan Bursa Malaysia Securities yang memintanya untuk membuat representasi bertulis yang disokong oleh bukti dokumentari mengenai sebab urus niaganya dalam sekuritinya tidak boleh digantung dan sekuritinya tidak boleh dibuat penyahsenaraian.

Terdahulu, Pertama Digital gagal mengemukakan pelan regularisasi yang dicadangkan bagi kelulusan Bursa Securities dalam tempoh masa yang ditetapkan iaitu menjelang 9 Feb 2025 serta pelanjutan permohonan tempoh syarikat ditolak pada 7 Mac 2025.

Pertama Digital melalui satu makluman kepada bursa hari ini menjelaskan ia telah mengemukakan perwakilan bertulis kepada Bursa Securities hari ini tentang mengapa sekuritinya tidak boleh dikeluarkan dari senarai rasmi Bursa Securities. 

Syarikat itu juga berkata ia telah memeterai perjanjian tidak terikat dengan tiga individu untuk membeli kepentingan ekuiti sebanyak 80 peratus, masing-masing dalam D-Ron Singapore Pte Ltd dan D-Ron Malaysia Sdn Bhd dengan pertimbangan keseluruhan berjumlah S$30.4 juta dan RM5 juta.

Cadangan pengambilalihan itu merupakan sebahagian daripada strategi perniagaan jangka panjang kumpulan dan ia akan menjadi sebahagian daripada pelan regularisasi yang dicadangkan oleh syarikat. Lembaga Pengarah menjangkakan pengambilalihan yang dicadangkan akan meningkatkan hasil serta terus memberikan nilai lestari kepada para pemegang saham Pertama Digital dalam jangka sederhana dan panjang," katanya.

Syarat perjanjian tidak terikat itu akan berkuatkuasa dalam tempoh 12 bulan kecuali ditamatkan lebih awal.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan