KUANTAN, 15 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bekerjasama dengan platform ReMeal pada tahun ini bagi mengumpul data jumlah makanan yang berjaya diselamatkan daripada pembaziran di bazar Ramadan.
Timbalan Menterinya Dr Fuziah Salleh berkata inisiatif itu diambil oleh pihaknya sebagai salah satu tambah nilai dalam usaha mengelak pembaziran makanan yang tidak terjual yang akhirnya dibuang begitu sahaja.
“Dengan aplikasi ReMeal, kita boleh tahu berapa banyak makanan berjaya diselamatkan dan di mana lokasi bazar Ramadan terlibat. Selain itu, platform berkenaan turut menawarkan kembali makanan tersebut untuk dibeli pada harga diskaun yang banyak," katanya pada sidang media selepas sesi turun padang ke Bazar Ramadan Rahmah (BRR) peringkat Zon Timur di sini semalam.
Beliau berkata pendekatan sebegini mampu direalisasikan dengan adanya platform ReMeal di samping bantuan dan sokongan sukarelawan yang mencukupi di seluruh negara.
“Setakat ini, program MySaveFood telah berjaya menyelamatkan secara keseluruhannya sebanyak 36,292.2 kilogram (kg) makanan daripada terbuang di bazar Ramadan. Daripada jumlah itu, 12,691.16 kg makanan diselamatkan Gerakan Pengguna Siswa (GPS), melibatkan 68 institut pengajian tinggi awam dan swasta pada tahun ini," katanya.
Sementara itu Fuziah berkata kejayaan BRR boleh dilihat melalui peningkatan bilangannya sejak 2023 iaitu daripada 41 kepada 95 lokasi di seluruh negara pada tahun ini selain semakin banyak gerai yang turut sama menawarkan Menu Rahmah kepada orang ramai.
"Menariknya, kita memberikan kad diskaun kepada peniaga yang menawarkan Menu Rahmah bagi membolehkan mereka membeli barang masakan pada harga diskaun semasa Jualan Rahmah. Langkah ini juga diambil bagi memastikan Menu Rahmah yang dijual pada harga RM5 dan ke bawah dapat dibuat secara berterusan," katanya.
-- BERNAMA