GEORGE TOWN, 15 Mac (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pulau Pinang (PBAPP) telah bersedia dan membuat perancangan awal dengan memperoleh kelulusan perlu bagi pelaksanaan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata projek berkenaan telah tertangguh selama 14 tahun yang sebelum ini dikenali sebagai Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) dan kerajaan negeri mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang menyatakan ia kini memasuki peringkat perancangan fasa akhir.
“Menjadi harapan kerajaan Pulau Pinang agar proses rundingan perjanjian pembelian air terawat dapat bermula dan diselesaikan, selain menyegerakan pelaksanaan projek yang mendesak ini.
“Pelaksanaan Projek Air Perak - Pulau Pinang ini amat penting kerana bukan sahaja memanfaatkan tiga negeri Utara Semenanjung, malah keperluan pengguna di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) yang terjejas kini akan lebih terjamin termasuk pusat pembangunan sedia ada, dalam proses serta bakal diwujudkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chow berkata Perdana Menteri semalam menekankan bahawa inisiatif terbabit bukan sahaja dijangka dapat meningkatkan pengagihan air untuk Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) serta seluruh daerah di sekitar kawasan itu, tetapi juga meluaskan bekalan ke Seberang Perai meliputi Sungai Bakap dan Cherok Tok Kun.
Semalam, Anwar memaklumkan perancangan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah yang sebahagiannya bagi menyokong projek KIGIP dan membekal air terawat ke Pulau Pinang kini berada pada peringkat akhir.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata projek itu dijangka meningkatkan keupayaan penyaluran air bagi tujuan industri dan pertanian ke kawasan Kerian, Perak dan sekitarnya serta beberapa kawasan di Pulau Pinang.
Pada Jun tahun lepas, Anwar berkata kerajaan bersetuju memperuntukkan anggaran RM4 bilion bagi pelaksanaan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah di Kerian.
-- BERNAMA