LABUAN, 15 Mac (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan sumbangan zakat RM1.1 juta untuk membantu komuniti kurang bernasib baik di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan menerusi inisiatif Nur Ramadan 2025.
Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dalam kenyataan memaklumkan daripada jumlah itu RM300,000 akan diagihkan kepada 1,500 asnaf berdaftar dan individu berpendapatan rendah di Labuan.
Menurut kenyataan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa hari ini menyampaikan bantuan RM200 kepada 300 penerima termasuk anak yatim, warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) serta keluarga kurang berkemampuan pada Program Nur Ramadan di Surau Annur Rahim di Kampung Sungai Buton di sini hari ini.
"Surau Annur Rahim Kampung Sungai Buton turut menerima dana RM5,000 untuk menambah baik kemudahan bagi meningkatkan keselesaan para jemaah," menurut kenyataan itu.
Menurut JWP, pihaknya juga memperuntukkan RM75,000 kepada setiap Wilayah Persekutuan untuk menyediakan iftar dan moreh kepada asnaf yang menghadiri program Nur Ramadan.
-- BERNAMA