SIBU, 15 Mac (Bernama) -- Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Aaron Ago Dagang menyeru rakyat Malaysia untuk memanfaatkan apa jua platform, seperti majlis iftar dan memasak bubur lambuk untuk memperkukuh perpaduan serta semangat muhibah.
Beliau berkata platform berkenaan memberikan peluang kepada rakyat untuk mengenali antara satu sama lain, berkongsi cerita dan pengalaman serta merapatkan jurang perbezaan.
“Ini dapat menimbulkan semangat kasih sayang, hormat-menghormati dan tolong-menolong bagi dapat membina masyarakat yang lebih baik serta negara yang lebih maju.
“Perpaduan negara adalah asas kepada kestabilan dan kemakmuran negara kita. Ramadan memberikan peluang kepada kita untuk menunjukkan nilai-nilai murni, seperti saling menghormati, membantu sesama insan, dan memberi tanpa mengharapkan balasan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Program Gerak Rahmah Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Sarawak dan Lan Berambeh Sungkei 2025 di Dataran Tun Tuanku Bujang di sini hari ini.
Aaron berkata sebanyak 110,000 bekas bubur lambuk disediakan serentak oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh Sarawak hari ini, di bawah program anjuran kementerian bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).
Program itu sebahagian daripada Program Gerak Rahmah Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan dan Majlis Iftar Harmoni di lebih 100 lokasi seluruh negara sepanjang Ramadan yang menyasarkan penyediaan 1.3 juta bekas bubur lambuk.
Aaron turut mengagihkan bumbur lambuk kepada orang ramai selain menyampaikan Bakul Rahmah kepada golongan asnaf dan mangsa banjir.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee menyifatkan majlis berbuka puasa di Dataran Tun Tuanku Bujang sebagai yang terhebat pernah diadakan di Sibu menyaksikan jumlah pengunjung melepasi jangkaan 20,000.
“Mereka yang hadir bukan sahaja dari Sibu tetapi juga dari kawasan Bintangor, Sarikei, Kuala Rajang dan Tanjung Manis. Ini termasuk kaum lain yang telah kita jemput untuk memeriahkan majlis, semuanya memakai pakaian tradisi masing-masing,” katanya.
-- BERNAMA