POLITIK

DAP SOKONG HAD TEMPOH JAWATAN PERDANA MENTERI 10 TAHUN, KEKAL CALONKAN ANWAR

16/03/2025 03:18 PM

SHAH ALAM, 16 Mac (Bernama) – DAP berharap dalam tempoh dua tahun akan datang, kerajaan dapat meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Setiausaha Agungnya Anthony Loke berkata cadangan itu adalah sebahagian daripada agenda reformasi yang perlu dilaksanakan.

Sementara itu beliau berkata DAP akan terus menyokong dan mencadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan (PH) sekiranya gabungan itu kembali membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Selepas PRU16, tidak kira bagaimana konfigurasi politik kerajaan ketika itu, DAP akan terus berpegang kepada pendirian bahawa Perdana Menteri yang mewakili Pakatan Harapan adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak ada calon lain,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Kebangsaan DAP ke-18 di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam, hari ini.

Loke berkata Anwar adalah seorang pemimpin demokrat yang sentiasa sedia mendengar dan mempertimbangkan setiap isu secara adil, selagi ia dibawakan dengan hujah yang kukuh dan meyakinkan.

Mengambil contoh bagaimana DAP menguruskan isu cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan supaya bayi yang ditinggalkan (foundling baby) tidak diberikan kewarganegaraan secara automatik pada 2024, beliau berkata isu itu pada mulanya mendapat kritikan hebat kerana dianggap tidak berperikemanusiaan.

Beliau kemudian membawa perkara itu ke mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dan memberi kebebasan kepada setiap Ahli Parlimen DAP untuk mengundi mengenainya.

“Hanya empat orang menyokong manakala yang lain tidak bersetuju. Saya menghormati keputusan tersebut dan membawa isu ini kepada Perdana Menteri untuk dipertimbangkan kerana ramai Ahli Parlimen kita tidak setuju.

“Hasilnya, kerajaan membuka ruang untuk menilai semula perkara ini dari sudut kemanusiaan,” katanya.

Loke berkata sehubungan itu dakwaan DAP tidak lagi berani bersuara dalam pelbagai isu sejak menjadi sebahagian daripada kerajaan adalah tidak berasas sama sekali.

“Sebagai sebahagian daripada kerajaan, DAP harus merundingkan sesuatu isu dengan rasional melalui pendekatan berdialog dan bermesyuarat demi mencari jalan penyelesaian.

“Kalau sekadar bersuara dan menyatakan pendirian tetapi tiada penyelesaian, apa gunanya? Sudah tentu kita akan tetap bersuara, tetapi kita memainkan peranan dengan penuh tanggungjawab.

“Tidak ada satu isu yang kita tidak boleh selesaikan. Apa saja polemik yang timbul, kita bawa ke perhatian Perdana Menteri dan beliau bangkitkan dalam mesyuarat mingguan Jemaah Menteri,” katanya.

Selain itu Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata DAP harus bersikap adil terhadap Perdana Menteri kerana beliau merupakan nakhoda kepada Kerajaan Perpaduan yang dibentuk oleh pelbagai gabungan parti.

“Beliau adalah nakhoda, dan kita harus memahami bahawa kita berada dalam satu kapal sekarang. Jika setiap hari kita memberi tekanan kepadanya, nanti dia pengsan, bagaimana? Jadi, ada caranya.

“DAP bukan tidak berani bersuara, tetapi kita bersuara dengan strategik, sopan dan cerdik. Perdana Menteri menguruskan 19 parti dalam kerajaan, kita perlu bersikap adil kepadanya,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan