LABUAN, 16 Mac (Bernama) -- Lebih 50,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa dijangka memeriahkan Festival Flora Borneo (BFF) yang dianjurkan buat julung-julung kalinya di pulau bebas cukai itu pada Julai ini.
Dijadualkan selama lima hari bermula 26 Julai, festival berkenaan dijangka menjadi acara ikonik untuk pulau itu yang akan mencipta limpahan ekonomi signifikan melalui pelbagai aktiviti perniagaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata acara itu akan dianjurkan Perbadanan Labuan (LC) dengan kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan melibatkan pelbagai agensi kerajaan serta pihak berkepentingan sektor swasta.
“Kami memulakan festival flora di Labuan sebagai sebahagian daripada komitmen untuk membangunkan acara berasaskan pelancongan yang akan menarik lebih ramai pelawat ke pulau ini.
“Pada akhirnya, kami menyasarkan untuk meningkatkan ekonomi tempatan, memastikan pengusaha hotel, restoran dan peniaga tempatan mendapat manfaat,” katanya kepada Bernama hari ini.
Dr Zaliha berkata Festival Flora Borneo ini diilhamkan oleh kejayaan acara Floria Putrajaya dan merupakan usaha strategik untuk merangsang sektor pelancongan di Labuan.
“Kami menggalakkan penyertaan dari seluruh Malaysia, khususnya dari negeri-negeri jiran Sabah dan Sarawak, serta Brunei.
“Selain itu, kami berharap kerjasama yang kukuh daripada pengusaha hotel supaya mereka bersiap sedia menerima pelawat dengan terus meningkatkan perkhidmatan, seterusnya mempertingkatkan imej dan reputasi Labuan,” katanya.
Beliau juga menggesa pemilik restoran dan peniaga kecil untuk memberikan layanan mesra kepada pengunjung, mengukuhkan reputasi Labuan sebagai destinasi yang mesra dan mengalu-alukan kedatangan pelancong.
“Festival Flora Borneo ini dijangka menjadi tarikan utama, menarik peminat bunga dan tumbuhan, pakar hortikultur dan pelancong ke pulau ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan Labuan sebagai destinasi pelancongan,” katanya.
-- BERNAMA