SEPANG, 16 Mac (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berhasrat untuk memperhebat program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada masa akan datang bagi memenuhi peranannya dalam mengadakan program-program bermanfaat kepada masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata antara inisiatif yang sedang direncanakan termasuklah dalam bidang pendidikan dan aktiviti kesukanan.
"Di bawah program Satu Pemimpin Satu Kampung, Bernama telah memilih Kampung Batu Laut sebagai kampung angkat. Di bawah program Santuni Madani kita memilih fokus pendidikan, jadi kita melihat peranan kita dalam bidang media kita percaya kita dapat membantu anak-anak di sini (Kampung Batu Laut) dari aspek membaca dan itu yang kita tumpukan.
“Insya-Allah pada masa akan datang kita akan ada program kesukanan dan sebagainya. Ini untuk memenuhi (tanggungjawab) apabila kita menjadikan Kampung Batu Laut sebagai kampung angkat, kita bertanggungjawab untuk mengadakan program-program yang boleh memberi manfaat kepada para penduduk dan ini yang kita lakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program CSR 2025 Bernama yang berlangsung di Masjid Inayaturahman, Kampung Batu Laut, Tanjung Sepat, di sini hari ini.
Nur-ul Afida turut berterima kasih kepada petugas Bernama yang bersama-sama turun padang pada hujung minggu bagi membantu menjayakan program tersebut.
Bertemakan 'Indahnya Ramadan’, acara tahun ini merupakan program CSR Ramadan ketiga agensi berita itu selepas penganjuran kali pertama di Bazaria Lembah Pantai pada 2023 dan kali kedua di Dataran Putrajaya tahun lepas.
Pada majlis tersebut seramai 21 anak yatim dari Kampung Batu Laut diraikan dengan pemberian sumbangan hari raya.
Program itu turut mendapat sokongan rakan strategik Bernama iaitu Rimbunan Kuasa Sdn Bhd, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Maybank, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), MTD Group, Maju Expressway Sdn Bhd (MEX) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PERNAS Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah berkata program seperti itu memberi ruang kepada syarikat berkenaan untuk mendekati komuniti.
"Sebelum ini memang kita telah adakan beberapa aktiviti CSR dengan Bernama. Jadi kita akan teruskan kerjasama dengan Bernama pada masa hadapan.
“PERNAS memang sangat aktif dalam melibatkan diri membantu golongan sasar. Program Bernama ini memang bertepatan dengan objektif PERNAS selama ini iaitu membantu golongan sasar," katanya.
Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kebudayaan Selangor Datuk Borhan Aman Shah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Sepat dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Nasriah Darus, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz dan Ketua Kampung Batu Laut Subandi Sangadi.
-- BERNAMA