MELAKA, 16 Mac (Bernama) -- Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM8 juta bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih di 13 Klinik Kesihatan (KK) di Melaka pada tahun ini.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata kerja baik pulih itu, antaranya membabitkan KK Ujong Pasir dan KK Jalan Gereja, Banda Hilir.
"Kita telah melawat kesemua KK itu dan melihat persekitaran serta fasiliti di situ perlu ditambah baik dalam tempoh terdekat untuk memastikan keselesaan pesakit yang menerima rawatan dan juga petugas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Program Gerak Rahmah Jom Masak Bubur Lambuk Ramadan peringkat negeri anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Melaka yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Ngwe berkata pada masa kini projek itu di peringkat buka tender dan berharap proses berkenaan tidak mengambil masa lama memandangkan kerja baik pulih perlu dilakukan segera.
"Kita di pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) amat berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas kelulusan diberikan itu," katanya.
-- BERNAMA