KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Pemaju hartanah Malaysia menerajui projek-projek pembaharuan semula bandar-bandar besar Australia ketika Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) di Malaysia sebaliknya terus diperdebat dalam keadaan perumahan kos rendah yang kian merosot, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Akta yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada Julai ini, telah mencetuskan debat hangat dalam kalangan pemaju hartanah dan pemilik kediaman.
Kebimbangan utama menumpukan aspek peratusan pemilikan bumiputera dan penjualan secara "en bloc" atau nilai ambang persetujuan tertentu keseluruhan pembangunan strata yang menimbulkan kebimbangan mengenai potensi perpindahan, terutama dalam kalangan pemilik rumah berpendapatan rendah.
Nga berkata pemaju hartanah seperti S P Setia Bhd dan Gamuda Land yang juga cabang hartanah Gamuda Bhd, telah memainkan penting dalam usaha pembaharuan semula bandar Australia.
Gamuda Land misalnya telah melabur dalam projek pembaharuan semula bandar di Melbourne yang memberi sumbangan bermakna kepada pertumbuhan perumahan dan infrastruktur Australia.
“Ironinya, ketika firma-firma Malaysia ini mentransformasi bandar-bandar asing, usaha sama di negara sendiri sebaliknya tidak memberangsangkan,” katanya pada sidang media bersempena program lawatan sambil belajar Pemimpin Hartanah Asia (AREL) selama tiga hari di Melbourne, Australia, baru-baru ini.
Program anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) dan Monash University itu menghimpunkan lebih 180 pihak berkepentingan utama sektor perumahan dan hartanah Australia dan Malaysia.
Lawatan sambil belajar itu bertujuan memberi peluang kepada pemaju Malaysia untuk libat urus dengan pakar Australia dalam bidang seperti pembangunan bagi kegunaan bercampur-campur, perkampungan persaraan, pembangunan mampan, perumahan sosial dan perbandaran.
Sebagai rujukan, Gamuda Land sedang membangunkan "The Canopy on Normanby" yang terletak di kawasan dalam Fishermans Bend yang juga projek pembaharuan semula bandar terbesar Australia yang merangkumi kawasan seluas kira-kira 480 hektar.
Selain itu, S P Setia juga aktif dengan projek-projek pembangunan semula bandar di Australia, khususnya di Melbourne menerusi “Sapphire by the Gardens” yang dijangka muncul sebagai kawasan penting di bandar itu.
Nga berkata pemaju lain Malaysia seperti Gamuda, SP Setia, Sime Darby dan OSK juga berjaya mewujudkan kehadiran masing-masing di Melbourne dan bandar lain di Australia.
“Pembangunan Melbourne Square oleh OSK yang bernilai AU$2 bilion merupakan antara pembangunan bercampur terbesar dan penting di bandar ini.
“Kawsan dengan lebih 1,400 pangsapuri dan ruang runcit seluas 10,000 meter persegi, juga membuktikan kepakaran pemaju Malaysia dalam mengusahakan projek bertaraf dunia," katanya.
Cabaran Pembaharuan Bandar di Malaysia
Sementara itu, di Malaysia, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah mengenal pasti empat aspek utama: pembangunan semula, penjanaan semula, penyegaran semula dan pemuliharaan bandar.
“Malaysia mempunyai ratusan bangunan lama, kebanyakannya dibina sebelum merdeka.
“Berdasarkan perbincangan dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, kebanyakan daripada struktur ini, terutama pangsapuri lama dan skim perumahan awam, mempunyai jangka hayat kira-kira 70 hingga 80 tahun.
“Selain itu, sistem pendawaian yang merosot, ancaman bahaya kebakaran dan keadaan hidup yang merosot menimbulkan risiko yang serius kepada penduduk,” kata Nga.
Menekankan mengenai kepentingan pembaharuan bandar yang semakin mendesak, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang untuk mengadakan lawatan ke seluruh negara, menjemput Ahli Parlimen melawat kawasan usang yang memerlukan pembangunan semula dengan segera, selain projek pembaharuan yang berjaya.
“Ini akan membolehkan mereka melihat kesan pembaharuan bandar sebelum dan selepas ia dilaksanakan,” katanya.
Ambang Persetujuan Pembaharuan Bandar
Salah satu isu yang sering dipertikaikan mengenai Akta PSB ialah ambang persetujuan, apabila pengkritik berbalah kemungkinan ia meminggirkan masyarakat Melayu dan golongan berpendapatan bawah 40 peratus (B40) dan golongan pertengahan 40 peratus (M40) di kawasan bandar.
Mengulas lanjut, Nga berkata, Akta PSB yang dicadangkan memerlukan kelulusan 80 peratus bagi projek pembaharuan bandar, sejajar dengan piawaian yang ditetapkan di Singapura.
Sebagai perbandingan, di Melbourne memerlukan nilai ambang 75 peratus untuk hartanah strata, manakala Tokyo dan Shanghai memerlukan majoriti dua pertiga.
“Akta PSB di Malaysia lebih menyeluruh berbanding dengan negara lain kerana ia turut membabitkan projek terbengkalai.
“Dalam kes seperti ini, kerajaan bercadang untuk mengurangkan tempoh ambang persetujuan kepada 51 peratus bagi mempercepatkan pembangunan semula memandangkan sesetengah pemaju sudah melarikan diri dan dalam kes-kes tertentu, kita gagal mengesan siapa pemiliknya,” katanya.
Menggalakkan Pemaju Melabur Semula di Malaysia
Ketika mengulas mengenai pemaju di luar negara, Nga berkata kerajaan sudah menyeru institusi pelaburan utama untuk memperuntukkan semula sekurang-kurangnya 70 peratus daripada portfolio pelaburan ke Malaysia bagi merangsang pelaburan domestik.
“Permodalan Nasional Bhd adalah pemegang saham S P Setia dan kami menggesa ia mengurangkan projek di luar negara dan lebih menumpukan usaha pembangunan semula di peringkat domestik.
“Matlamatnya adalah mewujudkan permintaan lebih besar terhadap ringgit dan mengukuhkan ekonomi dengan memastikan pemaju di Malaysia mengutamakan projek tempatan.
“Dengan anggaran RM5 bilion bagi projek baharu di Australia, kerajaan mencadangkan supaya sekurang-kurangnya sebanyak RM2 bilion dilaburkan semula di Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA