AM

KPT DAPATKAN PAKAR BAHARU SUSULAN PENGGANTUNGAN PAKAR RUNDING SAMBILAN

17/03/2025 05:53 PM

PUTRAJAYA, 17 Mac (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang dalam proses mendapatkan pakar perubatan baharu susulan penggantungan kerja seorang pakar runding sambilan di sebuah hospital universiti pakar kanak-kanak baru-baru ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata sementara menunggu proses itu selesai, semua pesakit kanak-kanak yang menghidap spina bifida atau kecacatan tulang belakang dan sedang menjalani rawatan di hospital berkenaan akan dirujuk kepada pakar bedah saraf lain. 

“Bagi hal berkaitan dengan pesakit atau mereka yang memerlukan rawatan, pihak universiti telah membuat langkah-langkah untuk mereka cover balik kerja-kerja yang ada.

“Mereka (pihak hospital) akan dapatkan pakar-pakar lain yang mempunyai kepakaran dalam bidang itu dan ini telah pun dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Ihya’ Ramadan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama warga KPT di sini hari ini. 

Zambry berkata laporan lengkap berkaitan kes itu telah diterima dan tindakan susulan akan dijalankan oleh pihak universiti berkenaan.

Sebelum ini, seorang pempengaruh media sosial mempersoalkan tindakan pengarah hospital berkenaan yang mengeluarkan arahan penggantungan kerja seorang pakar runding sambilan di hospital itu.

Pempengaruh wanita terbabit mengeluarkan kenyataan itu menerusi laman media sosial X sehingga menimbulkan pelbagai persepsi masyarakat terhadap universiti berkenaan serta kementerian.

Zambry pada 15 Feb meminta mana-mana pihak untuk tidak memperbesarkan isu berkenaan kerana tidak wajar untuk kes itu diperbesarkan, dengan pihak terbabit membuat tohmahan dan menyebarkan kenyataan tanpa memeriksa latar belakang perkara itu.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan