KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Dutch Lady Milk Industries Bhd hari ini mengumumkan pelantikan Veronika Winanti Wahyu Utami sebagai pengarah urusan baharu berkuatkuasa pada 15 April, 2025.
Dalam kenyataannya, Dutch Lady berkata beliau menggantikan Ramjeet Kaur Virik yang menggalas tugas itu sejak Julai 2021 dan kini dalam proses memegang peranan sebagai pengarah global, pemasaran dan inovasi di FrieslandCampina Professional and Trading di Belanda.
Utami yang kini berperanan sebagai pengarah pemasaran tenusu untuk pengguna dan pemakanan khusus di Frisian Flag Indonesia, akan mengetuai operasi Dutch Lady dan melaporkan kepada Presiden FrieslandCampina Asia Corine Tap.
Beliau bakal menggalas tanggungjawab baharu itu dengan pengalaman kepimpinan yang luas dalam sektor barangan pengguna yang pesat di Indonesia.
Di bawah kepimpinan dan pengalamannya, jenama Frisian Flag mencatat pertumbuhan ketara yang merentasi semua segmen, malah turut menyelia transformasi pelbagai jenama Frisian Flag sebagai jenama yang padu, mempamerkan kekuatan inovasi, identiti korporat dan kemampanan.
Syarikat itu turut meraih pertumbuhan bahagian pasaran selama dua tahun berturut-turut.
Sebelum menyertai Frisian Flag Indonesia, Utami berkhidmat selama 20 tahun di Unilever menerusi pelbagai peranan kepimpinan pemasaran di Indonesia serta rantau ini.
Beliau berkhidmat sebagai pengarah pembersihan fabrik untuk Asia Tenggara dan New Zealand dari 2018 hingga 2019 dan dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Unilever Indonesia pada tahun sama.
Dutch Lady berkata kepakaran Utami akan menyaksikannya berperanan penting dalam mengemudi fasa pertumbuhan dan pembangunan seterusnya untuk Dutch Lady.
Pada masa sama, syarikat itu turut menghargai sumbangan Virik, terutama dalam memantau peralihan hab pengeluaran Dutch Lady dari Petaling Jaya, Selangor ke Bandar Enstek di Negeri Sembilan.
-- BERNAMA