KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Kempen Advokasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bakal diadakan di beberapa bazar Ramadan di sekitar Lembah Klang sepanjang bulan puasa ini, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata kempen itu bertujuan meningkatkan kesedaran segenap lapisan masyarakat mengenai keselamatan Internet dan dilaksanakan di kawasan bazar yang menjadi tumpuan orang ramai.
“Kita nak tekankan (dalam advokasi ini) bahawa kanak-kanak bawah 13 tahun ini tidak payah main media sosial, tidak payah ada akaun TikTok, selain kita promosikan penggunaan chatbot AIFA (Artificial Intelligence Fact-check Assistant) untuk semak kesahihan berita.
“Jadi hari ini bazar Ramadan Wangsa Maju jadi lokasi pertama, kita turut bawa mesej bagaimana nak elak terjerat jadi mangsa penipuan dan apa perlu dilakukan untuk pastikan keselamatan anak-anak kita dalam talian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Kempen Advokasi MCMC di Bazar Ramadan Wangsa Maju di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan.
Fahmi berkata kempen tersebut juga memberi manfaat kepada peniaga iaitu lebih 7,300 petak niaga bazar Ramadan di seluruh Kuala Lumpur diberi bantuan sebanyak RM100.
Dalam pada itu, beliau berkata Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian yang dilancarkannya 21 Jan lepas akan diteruskan ke sekolah-sekolah, institusi pendidikan tinggi dan institut pendidikan guru selepas Hari Raya Aidilfitri.
-- BERNAMA