AM

RIUH RAYA KITA 2025 BERMULA ESOK, PUPUK SEMANGAT KEBERSAMAAN

18/03/2025 12:41 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures akan menganjurkan RIUH Raya Kita 2025 bertujuan memupuk semangat kebersamaan dan menyerlahkan kreativiti bermula esok hingga 23 Mac di Raintree Plaza, TRX di sini.

MyCreative Ventures menerusi kenyataan hari ini memaklumkan RIUH Raya Kita 2025 membawakan gabungan hasil kreatif tempatan, keusahawanan dan komuniti dalam satu festival dengan penampilan lebih 80 jenama tempatan, 25 peniaga makanan dan minuman, 23 persembahan pentas dan sembilan bengkel kreatif.

“Pelbagai koleksi Aidilfitri daripada jenama tempatan antaranya Kahlo Studio, The Batik Life, Rumah Hartiqa, Behati dan banyak lagi akan mengambil bahagian. Selain itu, terdapat persembahan daripada The Impatient Sisters, Nastia, Megat Fazly dan FUGO.

“Pelbagai bengkel menarik seperti kaligrafi khat, anyaman ketupat, kompang tradisional, sampul raya DIY, sumbangan pakaian terpakai serta persembahan kebudayaan turut diadakan,” menurut kenyataan itu. 

Lebih 60,000 pengunjung dijangka menghadiri program itu.

MyCreative Ventures turut memaklumkan menerusi inisiatif RIUH Kita, pengunjung boleh menikmati hidangan pada harga serendah RM7.

“Pengunjung juga berpeluang menyumbang kepada OneForOne, iaitu program untuk menyediakan hidangan kepada golongan memerlukan dengan tambahan sebanyak RM10 bagi pembelian makanan dan minuman,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, layari media sosial riuhinthecity dan mycreativeventures.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan