KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Kelibat seorang warga emas lelaki yang duduk berseorangan pada Majlis Raya Sama-Sama bagi meraikan penggiat seni dan pengamal media di sini semalam agak mencuri tumpuan satu per satu tetamu yang hadir.
Di atas mejanya, tersusun rapi kira-kira tujuh kad perakuan akhbar, pas kakitangan dan pas petugas media di beberapa agensi yang sebahagiannya sudah tidak wujud lagi, seperti Mingguan Perdana, Watan dan Harian Nasional, sehingga terdetik di hati, individu ini bukan calang-calang orangnya.
Rupa-rupanya ia turut menarik perhatian Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang hadir merasmikan program itu dan duduk semeja dengan Abdul Wahab Abdul Aziz, 80, yang kali terakhir bertugas sebagai penyunting di Harian Metro pada 2013.
“Saya tengok senarai kad dibawa Encik Abdul Wahab ada kad perakuan akhbar, sekarang kita panggil kad perakuan media, itulah kad kuasa seorang wartawan, kalau nak hadir ke tempat tugasan dia kena tunjukkan kad akhbar, hari ini keadaan sudah jauh berbeza.
“Banyak syarikat media yang satu ketika dahulu setiap hari mencetak beratus ribu surat khabar, kini menyaksikan jumlah sirkulasi dan cetakan itu berkurangan cukup mendadak,” kata Fahmi ketika berucap merasmikan Program Raya Sama-Sama anjuran Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Bernama itu.
Ketika disapa, Abdul Wahab berkata kerjayanya dalam industri kewartawanan bermula pada 1965 di kilang Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin, di sini ketika berusia 20 tahun dan beliau ketika itu hanya bertugas sebagai penyusun surat khabar selama 15 tahun.
Pada masa itu katanya, situasi di dalam kilang cetakan amat berbeza, mereka tidak menang tangan untuk menyusun ratusan ribu surat khabar yang siap dicetak sebelum diedarkan kepada wakil penjual, satu situasi yang jauh berbeza dari sekarang.
Bagaimanapun, berlaku plot twist (perubahan yang tidak disangka-sangka) dalam kerjayanya apabila beliau "dipaksa" menjadi wartawan di syarikat berkenaan pada 1980-an oleh Ketua Pengarang Utusan Melayu Tan Sri Zainuddin Maidin ketika itu, namun ia tidak bertahan kerana minatnya yang lebih terarah dalam bidang penyuntingan.
Bapa kepada 11 anak itu berkata setelah tiga tahun bertugas di Utusan Melayu sebagai wartawan dan penyunting, beliau kemudian mendapat pelbagai tawaran pekerjaan sehingga membolehkan beliau berkhidmat di syarikat khabar termasuk Berita Harian.
“Saya mendapat banyak tawaran sebagai penyunting dan tugasan lain sebab saya bekerja dengan prinsip ‘gigih dan ketagih’. Kerja orang lain pun kadang-kadang saya tolong buat, jadi daripada situ saya belajar banyak perkara menyebabkan saya cepat naik.
“Saya juga pernah pegang banyak jawatan dalam satu masa sebagai wartawan, penyunting, ketua susun atur pereka grafik dan pengurus kilang pada 1984 ketika bekerja di Harian Nasional. Kerja bahagian surat khabar letak di mana saja saya boleh buat,” katanya.
Setelah menamatkan perkhidmatan di Berita Harian pada 2000, Abdul Wahab kemudian ditawarkan menjadi penyunting di Harian Metro hingga 2013 sebelum bersara sepenuhnya daripada bidang kewartawanan.
Beliau berkata walaupun ledakan teknologi menyebabkan surat khabar semakin dipandang sepi, mereka yang bekerja dalam industri itu tidak boleh berputus asa dan seharusnya mencari lebih banyak peluang dan inisiatif baharu dalam menyajikan berita kepada orang awam berpandukan etika kewartawanan.
“Kerja sebagai wartawan memang harus gigih, kita kena dapatkan maklumat sebelum orang ramai tahu,” katanya.
Abdul Wahab mewakili 26 pengamal media yang mendapat bantuan pada majlis itu menerusi Tabung Kasih@HAWANA selain bantuan baucar beli-belah dan pakaian raya, turut menzahirkan perasaan terharu dan berbesar hati atas sumbangan berkenaan.
“Sumbangan ini sangat membantu dalam meringankan beban menjelang Aidilfitri. Usaha murni ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam membantu golongan pengamal media yang memerlukan,” katanya.
-- BERNAMA