AM

PROGRAM KACAU DODOL TRADISI MASYARAKAT PANTAI KUNDOR HIDUPKAN SUASANA MENJELANG LEBARAN

18/03/2025 03:04 PM

MELAKA, 18 Mac (Bernama) -- Program mengacau dodol yang diadakan setiap tahun menjadi tradisi masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor bagi memeriahkan suasana menjelang sambutan Aidilfitri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Tuminah Kadi @ Mohd Hashim berkata lebih menarik, acara pada tahun ini bukan sahaja disertai penduduk kampung, malah turut melibatkan agensi dan jabatan kerajaan termasuk badan beruniform serta pelajar sekolah.

"Kita juga mendapat kerjasama daripada anggota penguat kuasa, seperti dari Balai Polis Tanjung Kling, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu selain anggota komando dari Kem Tentera Sungai Udang Melaka dan Jabatan Penjara Malaysia.

"Program ini juga disertai petugas Jabatan Laut dan syarikat swasta serta sekolah menengah yang kesemuanya dalam kawasan DUN Pantai Kundor ini," katanya kepada pemberita pada program itu di Pentas Budaya Pantai Puteri di sini malam tadi.

Majlis itu disempurnakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Tuminah berkata bersempena dengan program itu juga, terdapat 36 kumpulan termasuk penyertaan pemuda dan wanita dari 20 Cawangan UMNO DUN Pantai Kundor yang turut menjalankan aktiviti mengacau lapan kawah dodol secara tradisional.

Katanya, selain mengacau dodol, tidak ketinggalan acara membuat kuih tradisional seperti lidah buaya, kuih siput dan onde-onde serta memasak sup kawah.

"Program ini juga mencerminkan keakraban dan keharmonian semua masyarakat di kawasan Pantai Kundor di samping kita mahu memastikan tradisi dan budaya masyarakat ini kekal terpelihara.

"Aktiviti gotong-royong seumpama ini secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturahim serta mendidik anak muda supaya dapat mewarisi budaya ini," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan