KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Gamalux Oils Sdn Bhd (Gamalux Oils), pengeluar bahan mentah bagi biodiesel dan haiwan ternakan, meneruskan komitmen terhadap kebajikan masyarakat dengan menyantuni anak-anak yatim dan asnaf dari Baitul Sakinah As-Shariff melalui program Iftar Kasih 2.0.
Pengarah Urusan Gamalux Oils merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Usman Ahmed berkata inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Iftar Kasih 2.0 itu adalah tanda keprihatinan syarikat untuk berkongsi keberkatan bulan mulia ini dengan membantu golongan yang memerlukan.
"Ramadan adalah masa untuk bermuhasabah, memberi, dan mengukuhkan hubungan sesama manusia. Di Gamalux Oils kami bukan sahaja komited terhadap kelestarian dalam perniagaan tetapi juga memastikan kami memberi impak positif kepada masyarakat.
"Iftar Kasih 2.0 adalah bukti komitmen kami untuk menyebarkan kebaikan dan memastikan anak-anak ini merasai kegembiraan di bulan yang mulia ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Majlis yang diadakan di Baitul Sakinah As-Sharif di Pelabuhan Klang, Selangor semalam dihadiri 40 tetamu, termasuk petugas Gamalux Olis serta anak-anak yatim dan asnaf rumah berkenaan.
Ia bertujuan memberikan pengalaman Ramadan yang bermakna buat petugas syarikat selain memastikan anak-anak yatim dan asnaf itu tidak ketinggalan merasai kemeriahan bulan penuh keberkatan.
Usman turut memaklumkan bagi menambah kegembiraan, setiap anak yatim juga menerima sumbangan duit raya.
Beliau juga berharap menerusi penganjuran Iftar Kasih itu dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai individu dan rakan perniagaan untuk mengamalkan sikap pemurah, terutama ketika Ramadan.
-- BERNAMA