KUCHING, 19 Mac (Bernama) -- New South Wales (NSW), salah satu negeri maju di Australia dalam sektor tenaga telah menyatakan minat untuk mengukuhkan hubungannya dengan Sarawak dalam bidang tenaga boleh baharu (TBB) dan kelestarian alam sekitar.
Perkara berkenaan diberitahu Pesuruhjaya Perdagangan Kanan New South Wales (NSW), Andrew James Parker
Pesuruhjaya Kanan Perdagangan NSW Andrew James Parker semasa kunjungan hormatnya ke atas Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni pada Selasa.
Menurut kenyataan dikeluarkan oleh pejabat Dr Hazland hari ini, mesyuarat itu menggariskan potensi kerjasama dalam bidang tenaga hijau dan kemampanan, menekankan kekuatan kedua-dua wilayah dalam memacu masa depan lebih hijau (mesra alam sekitar) dan lebih mampan.
Parker berkata NSW boleh membawa kepakaran teknologi termaju dan pengalaman penting dalam memanfaatkan sumber boleh diperbaharui seperti tenaga solar, angin dan hidroelektrik, Sarawak pula mempunyai banyak sumber semula jadi diperlukan.
"Kami mengiktiraf potensi besar Sarawak dalam TBB terutamanya dalam tenaga hidro..ia adalah peluang besar untuk menjalnkan kerjasama. New South Wales dengan keupayaan canggihnya dalam teknologi hijau. Justeru, kami berhasrat bekerjasama dengan Sarawak dalam memajukan inisiatif tenaga lestari," katanya.
Sementara itu, Dr Hazland berkata komitmen Sarawak untuk mengurangkan jejak karbonnya dan beralih kepada ekonomi rendah karbon sejajar dengan visi NSW untuk memupuk inovasi dalam penyelesaian tenaga bersih.
Beliau berkata NSW mempunyai potensi besar yang belum diteroka dalam tenaga hidro, tenaga solar dan biojisim, meletakkan dirinya sebagai penggiat utama dalam peralihan tenaga rantau ASEAN serta membangunkan sumber tenaganya selaras dengan matlamat kemampanan global.
Kedua-dua pihak membincangkan mengenai peluang untuk usaha sama, pelaburan dan perkongsian penyelidikan dalam sektor tenaga hijau termasuk pembangunan projek berskala besar, pertukaran kepakaran dan promosi inovasi teknologi.
“Pertemuan ini merupakan satu langkah penting ke arah membina hubungan lebih kukuh antara New South Wales dan Sarawak khususnya dalam bidang tenaga hijau, kedua-dua pihak boleh menggabungkan kekuatan masing-masing,” kata kenyataan itu.
-- BERNAMA