AM

PLUS JANGKA LEBIH 2.2 JUTA KENDERAAN SEHARI PADA WAKTU PUNCAK SAMBUTAN AIDILFITRI 

19/03/2025 03:04 PM

SUBANG, 19 Mac (Bernama) -- PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan lebih 2.2 juta kenderaan akan menggunakan rangkaian lebuh raya kendaliannya setiap hari pada hari puncak sempena Aidilfitri ini.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata hari puncak tersebut dijangka berlaku antara 27 hingga 29 Mac, serta 4 hingga 6 April, berikutan sambutan Aidilfitri pada 31 Mac dan 1 April serta perayaan Qing Ming pada 4 April.

Beliau turut menjangkakan lebih 70,000 kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sepanjang tempoh tersebut.

“Sebagai persediaan, PLUS akan melaksanakan tiga strategi utama bagi membantu perjalanan pengguna Lebuhraya PLUS (Utara-Selatan) dan LPT2 iaitu aspek pengurusan trafik dan insiden yang efisien, pengagihan trafik melalui aplikasi MyPLUS-TTA dan tambahan kemudahan awam demi keselesaan pengguna.

“Pendekatan lain termasuk pelaksanaan Op Selamat pada 29 Mac hingga 3 April, pemberhentian sementara kerja di laluan utama dari 27 Mac hingga 7 April dan larangan kenderaan berat pada 29 hingga 30 Mac serta 5 hingga 6 April,” katanya pada sesi taklimat Persediaan PLUS Hadapi Pertambahan Trafik Sempena Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, Pengarah Wilayah Tengah Lembaga Lebuhraya Malaysia Dr Mohammed Ridzuan Jahidin dan Timbalan Pengarah Operasi Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia Tan Kim Loon.

Bagi menguruskan trafik dengan lebih efisien, Zakaria berkata PLUS akan mengaktifkan laluan pintar atau smartlane di 28 lokasi tumpuan trafik di lebuh raya bagi melancarkan pergerakan trafik di lokasi kritikal. 

“Ini merupakan pertambahan tiga lokasi smartlane berbanding 25 lokasi pada perayaan Tahun Baharu Cina yang lalu, meliputi Lingkaran Putrajaya KM P3.0-KM 4.0 (arah timur), Pedas Linggi-Senawang KM 244-KM 248.5 (arah utara), dan Tangkak-Jasin
KM 174-KM 180.2 (arah utara),” katanya.

Selain itu, beliau berkata lebih 5,000 petugas ekosistem PLUS bersedia membantu perjalanan pengguna lebuh raya, termasuk di plaza tol (1,471), pusat pemantauan trafik (60), anggota rondaan (413), penyelenggaraan di Rawat dan Rehat (R&R) dan hentian (3,570), RELA (319) dan 50 anggota Pasukan Bantuan Kecemasan (ERT) di lokasi terpilih.

Sementara itu, Mohd Yusri memaklumkan pihaknya telah mengenal pasti 25 kawasan hotspot dan 46 kawasan black spot di lebuh raya seluruh negara yang sering menjadi lokasi kemalangan.

Ketika ditanya mengenai jumlah anggota polis yang akan bertugas sepanjang musim perayaan ini, beliau berkata butiran lanjut mengenai perkara itu akan diumumkan pada pelancaran Op Selamat yang dijadualkan pada 23 Mac ini.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan