JENAYAH & MAHKAMAH

SKIM PENIPUAN PELABURAN 'SILEGX': 46 KERTAS SIASATAN DIBUKA, KERUGIAN CECAH RM41.5 JUTA

19/03/2025 03:47 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Sebanyak 46 kertas siasatan telah dibuka berhubung kes skim penipuan pelaburan ‘SILEGX’ di seluruh negara yang melibatkan nilai kerugian mencecah RM41.5 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata sebanyak 46 individu dipercayai menjadi mangsa penipuan skim terbabit dengan pesara merekodkan jumlah tertinggi iaitu 15 orang.

Beliau berkata mangsa lain ialah 12 ahli perniagaan, pekerja swasta pelbagai bidang (10), guru (3), jurutera (2) dan masing-masing seorang pegawai bank, akauntan, doktor serta suri rumah.

“Mangsa antaranya ialah seorang lelaki berusia 71 tahun yang mendakwa melihat iklan berkaitan pelaburan kripto melalui Facebook pada November 2024, kemudian tertarik dan telah menghubungi nombor WhatsApp dipaparkan.

“Mangsa dimasukkan ke kumpulan WhatsApp ‘Outstanding Elite Major Team’ dan diterangkan mengenai pelaburan saham dan cryptocurrency yang boleh disertainya menggunakan platform silegx.com yang kononnya membolehkan keuntungan dalam masa singkat,” katanya kepada sidang media di sini hari ini.

Ramli berkata mangsa yang juga pesara kerajaan kemudiannya telah mendaftar akaun di platform tersebut dan melakukan 42 transaksi pindahan wang ke lapan akaun bank atas nama syarikat berbeza dan jumlah keseluruhan wang yang dipindahkan dianggar mencecah RM5 juta.

“Pada awal bulan ini, mangsa dimaklumkan platform SILEGX mempunyai masalah dan pelabur dikehendaki mengeluarkan wang daripada akaun itu atau berdepan risiko ia akan dibekukan dan ketika itu, mangsa mendapati pelaburannya telah menjana keuntungan hingga USD205,463,456 (RM1 bilion).

“Namun apabila hendak mengeluarkan wang keuntungan, mangsa diarahkan untuk membuat bayaran yuran proses sebanyak USD230,000 lalu mula curiga akan kesahihan skim terbabit dan telah membuat laporan polis Isnin lepas,” katanya.

Ramli berkata sejumlah 39 akaun bank telah dikesan digunakan skim pelaburan ini untuk menerima wang daripada mangsa.

“37 akaun bank didaftarkan atas nama syarikat dan dua akaun bank adalah atas nama perniagaan,” katanya sambil menambah kesemua kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan