EKONOMI

KEAZAMAN, INOVASI DAN SOKONGAN: PEMACU UTAMA KEJAYAAN PERNIAGAAN UNTUK PEMENANG CABARAN BIZSMART

19/03/2025 07:29 PM

Oleh Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Pemenang BizSmart Challenge Accelerator Edition anjuran Alliance Bank Malaysia Bhd telah membuktikan bahawa keazaman, inovasi dan sokongan yang tepat penting untuk mengatasi cabaran perniagaan dan mencapai kejayaan yang mampan.

Disember lepas, cabaran itu menganugerahkan hadiah wang tunai RM550,000 kepada 13 perniagaan cemerlang, dengan BioLoop Sdn Bhd, Gula Cakery Sdn Bhd dan Volt Motorsports Sdn Bhd (HiiVolt) dipilih sebagai tiga pemenang utama, mengagumkan para juri dengan kecekapan perniagaan mereka yang luar biasa, inovasi dan potensi pertumbuhan, mengatasi 10 finalis yang lain.

Dalam temu bual eksklusif dengan Bernama, pengasas tiga syarikat terbaik -- Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BioLoop Mah Jun Kit, CEO Gula Cakery Nor Arieni Adriana Mohd Ritzal dan CEO HiiVolt Jay Jayabalathilagam -- berkongsi perjalanan keusahawanan mereka, membincangkan halangan yang dihadapi, cara mengatasinya dan peranan Alliance Bank dalam menyokong pertumbuhan mereka.

BioLoop, firma bioteknologi yang memberi tumpuan kepada pengurusan sisa mampan, menggunakan teknologi Black Soldier Fly Larvae (BSFL) untuk menukar sisa makanan kepada makanan haiwan berprotein tinggi dan baja organik.

Mah berkata inspirasi untuk memulakan perniagaannya timbul semasa beliau belajar di London apabila beliau melihat dua syarikat berjaya mengumpul dana yang besar untuk teknologi BSFL.

“Pada masa itu, tidak banyak perjanjian pertanian di Kesatuan Eropah tetapi saya melihat dua syarikat, satu di Belanda dan satu di Perancis, masing-masing mengumpul kira-kira US$200 juta (US$1=RM4.44).

“Oleh itu, saya fikir, mengapa tidak melakukannya di negara yang lebih menjimatkan kos seperti Malaysia, apabila iklim tropika lebih sesuai dan kos operasi keseluruhan lebih rendah?” katanya.

BioLoop telah diumumkan sebagai juara Cabaran BizSmart dan memperoleh hadiah RM265,000 termasuk Cradle Partner Selection Award dan Anugerah Kategori Credit Guarantee Corporation Malaysia (CGC).

Bagi Nor Arieni, yang syarikatnya, Gula Cakery memenangi naib juara dan Anugerah Kategori CGC berjumlah RM105,000, memasak telah menjadi minat beliau sejak zaman kanak-kanak.

“Saya seorang yang mementingkan keluarga dan saya tinggal bersama nenek saya yang gemar memasak, saya rasa dari situlah minat saya untuk belajar memasak bermula.

“Saya mula memasak pada usia muda, membuat kek yang kemudiannya dijual di bazar, malah di universiti, saya terus menjualnya yang kemudiannya dapat menjana pendapatan,” katanya.

Jay, pengasas HiiVolt, penyedia jaminan lanjutan pertama di Malaysia untuk bateri kenderaan hibrid, diinspirasikan daripada minatnya untuk menyelesaikan pelbagai masalah, berdasarkan latar belakangnya sebagai seorang doktor.

“Saya memang meminati bidang automotif ini sejak muda lagi apabila melihat ayah membaiki kereta dan mengendalikan kerja-kerja baik pulih.

“Demi minat dan keterujaan menjadi usahawan dalam industri ini, saya melepaskan tugas sebagai doktor sedekad lepas dan memilih untuk menyertai ayah saya,” katanya.

Ditanya mengenai motivasi yang mendorongnya menyertai Alliance Bank BizSmart Challenge, Mah berkata sepertimana program pemecut lain di Malaysia, usaha itu tidak menetapkan syarat-syarat ketat seperti kos tinggi atau program yang dipaut dengan ekuiti dan menjadi faktor utamanya untuk mencuba nasib.

“Tiada keadaan yang merugikan. Jika paling teruk pun, anda masih menerima bimbingan yang sama seperti program pemecut lain, namun masih beroleh sesuatu yang bermanfaat. Inilah motivasi saya di sebalik penyertaan ini, satu keputusan yang berteraskan perniagaan.

“Kini, selepas mengharungi perjalanan ini, ia seperti satu program realiti. Saya pernah menyertai program pemecut sebelum ini yang tidak sama dengan Alliance Bank BizSmart Challenge yang amat berkualiti,” katanya.

Nor Arieni pula berkata bagi mengembangkan lagi perniagaannya, beliau memutuskan untuk meninjau lebih banyak peluang yang ada.

“Sebaik menyedari ini satu pertandingan bagi melontarkan idea, saya lebih yakin kerana pernah menyertai acara serupa sebelum ini. Saya juga melihat ini sebagai peluang untuk meninjau kemungkinan baharu dan berdepan cabaran.

“Tambahan pula, program ini turut melibatkan video yang sememangnya kemahiran saya...ini hanya meningkatkan lagi rasa teruja untuk mengambil bahagian,” katanya.

Bagi Jay, keterujaannya menyertai pertandingan itu bersandarkan matlamat untuk memperkasakan lagi industri automotif.

“Saya mahu usaha dan penyelesaian kami ini difahami dan diiktiraf. Menyedari tumpuan Alliance Bank dalam inovasi dan kemampanan, saya memutuskan untuk terbabit selain melihatnya sebagai peluang terbaik untuk berkongsi usaha kami,” katanya.

Memperincikan perancangannya, Mah berkata dengan pilihan bersama Alliance Bank, pihaknya dapat memanfaatkan sokongan dan kewibawaan bank itu bagi membantu mereka melebarkan sayap perniagaan ke pasaran baharu.

“Menerusi sokongan satu institusi kewangan ini serta lebih ramai yang memahami dan percayakan idea kami, rasa yakin dalam melaksanakan pelan itu jauh lebih ketara. Oleh itu, kami berterima kasih dengan (penganjuran) program ini,” katanya.

Bagi Nor Arieni, mengembangkan perniagaan dengan membuka tiga cawangan tambahan merupakan sebahagian daripada perancangannya pada tahun ini.

“Bantuan daripada Alliance Bank dan menjadi naib juara memberikan sokongan kewangan yang signifikan.

“Perancangan kami ialah membuka tiga cawangan pada tahun ini, melancarkan inisiatif pengumpulan dana awam pada tahun depan, menubuhkan kilang tidak lama lagi dan mengembangkan perniagaan ke luar Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, Jay berhasrat untuk menggunakan hadiah wang tempat ketiganya dalam cabaran berkenaan untuk memperoleh kit diagnostik, peralatan dan alat terkini untuk menyokong pasaran kenderaan hibrid.

“Dalam jangka masa pendek, kami memberi tumpuan kepada mengembangkan perkhidmatan kami ke seluruh negara dan menawarkan sokongan dari pintu ke pintu untuk penggantian bateri hibrid dengan jaminan serta mengutamakan penyelesaian masalah pelanggan kami,” katanya.

Ditanya mengenai nasihat mereka kepada usahawan yang mempunyai aspirasi tinggi, ketiga-tiga pemenang itu merenung kembali pengajaran penting yang diperoleh sepanjang perjalanan perniagaan mereka.

Mah menekankan kepentingan keikhlasan dalam motivasi peribadi dan pelaksanaan perniagaan.

“Memahami sebab anda melakukan ini sangat penting. Jika anda tidak ikhlas tentang tujuan anda, anda akan cepat keletihan apabila berdepan dengan cabaran harian. Bersikap telus mengenai kelemahan dalam perniagaan anda, bukannya menyembunyikan semuanya selain membina kredibiliti dan kepercayaan,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Arieni menggalakkan usahawan untuk memasang impian tanpa rasa takut selain menekankan keraguan sering menghalang seseorang untuk maju.

“Ramai usahawan teragak-agak untuk tampil ke hadapan berikutan takut akan kegagalan. Mengetahui kedudukan anda dalam pasaran dan membuat persiapan yang baik akan membantu anda untuk terus maju dengan keyakinan,” katanya.

Sementara itu, Jay menekankan kepentingan untuk terus memberi tumpuan pada penyelesaian, terutamanya apabila berdepan dengan cabaran.

“Usahawan akan sentiasa berdepan halangan sama ada dalam pembangunan produk, perkhidmatan pelanggan atau pertumbuhan perniagaan. Faktor penting ialah kekal fokus pada visi dan penyelesaian tanpa terganggu dalam perjuangan harian,” katanya.

 -- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan