AM

MYWAQAFPTPTN PERUNTUK HAMPIR RM1 JUTA BANTU PELAJAR TERUSKAN PENGAJIAN DI IPT

20/03/2025 03:47 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Sebanyak 82 pelajar menerima biasiswa myWaqafPTPTN, sebuah inisiatif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan peruntukan lebih RM984,000 sejak dilancarkan pada 11 Mac 2024. 

Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata sebelum ini pihaknya dengan kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) menyalurkan biasiswa itu kepada 58 pelajar melibatkan peruntukan lebih RM717,000, manakala semalam 24 pelajar menerima biasiswa myWaqafPTPTN dengan peruntukan lebih RM266,000. 

“myWaqafPTPTN menyasarkan sumbangan wakaf tunai daripada kerajaan, syarikat-syarikat korporat, badan berkanun, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam serta entiti yang sah di sisi undang-undang sama ada dari dalam atau luar negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar PTPTN Bersama Media di sini semalam. 

Pada majlis itu, Norliza menyerahkan biasiswa myWaqafPTPTN kepada 8 pelajar, selain meraikan pengamal media sebagai tanda penghargaan dan penghormatan atas peranan penting mereka dalam menyampaikan maklumat berkaitan PTPTN. 

Turut hadir Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Pegawai Eksekutif YWM Dr Ridzwan Bakar serta Pengurusan PTPTN dan YWM. 

Dalam pada itu, Norliza berkata setiap sumbangan menerusi myWaqafPTPTN layak mendapat potongan cukai 10 peratus daripada pendapatan agregat di bawah Subseksyen 44 (11C) Akta Cukai Pendapatan 1967. 

“Alhamdulillah, sejak dilancarkan sehingga Februari 2025, sumbangan yang diterima berjumlah RM1,188,000,” katanya. 

Selain itu, beliau turut mengalakkan orang ramai untuk menabung menerusi inisiatif Simpan SSPN yang  menawarkan pelbagai manfaat dan keistimewaan kepada pendeposit, antaranya pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.

Beliau berkata PTPTN sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi utama negara mendukung misi  memperkasakan amalan penabungan bagi mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman, sekali gus memastikan anak-anak tidak dibebani hutang apabila tamat pengajian. 

Seiring usaha pendigitalan kerajaan, beliau berkata pihaknya sentiasa komited dalam mempergiatkan strategi dan kempen bagi menggalakkan penggunaan aplikasi myPTPTN untuk urusan yang lebih cepat, mudah dan selamat.

Norliza berkata sehingga 31 Dis tahun lepas, bilangan pengguna myPTPTN mencapai 2.33 juta orang. 

Sementara itu, pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Fatin Nur Humaira Abd Rahman, 19, menzahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana beliau antara 24 pelajar terpilih untuk mendapatkan biasiswa myWaqafPTPTN. 

“Alhamdulillah, selama ini yuran pengajian saya memang ditanggung penuh melalui PTPTN sendiri, jadi sekarang sudah ada biasiswa, ia dapat mengurangkan beban ibu bapa saya dan menampung perbelanjaan di universiti,” kata pelajar Diploma Pengurusan Logistik itu. 

Turut berkongsi kegembiraan, pelajar Diploma Kejuruteraan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah Muhammad Rida Hafeez Mohamad Johari Abdul Rahman, 19, yang berazam lebih fokus kepada pembelajaran tanpa perlu memikirkan beban hutang pendidikan pada masa depan. 

“Saya ingin mengucapkan rasa terima kasih kepada PTPTN sebab myWaqafPTPTN ini,  saya sambung belajar ke peringkat sarjana muda di universiti,” katanya. 

Seorang lagi pelajar UPNM M. Harshavardhan, 21, berkata myWaqafPTPTN itu secara tidak langsung menampung pengajian dan keperluan pembelajaran di universiti, sekali gus membantu beliau fokus dalam pembelajaran. 

“Semoga saya dapat mencapai kejayaan dalam akademik dan membalas balik kebaikan PTPTN ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan