KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Kerajaan akan membuat pengumuman dalam masa terdekat berhubung pemberian diskaun tol 50 peratus sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata kaedah yang sama melibatkan potongan separuh daripada kadar tol biasa akan dilaksanakan sama seperti Tahun Baharu Cina lepas.
“Memang kita akan ada (potongan kadar tol) sebab kita sudah buat untuk Tahun Baharu Cina, takkan kita tak buat untuk Aidilfitri.
“Apa yang kita buat untuk Tahun Baharu Cina? 50 peratus (diskaun). Sabar sedikit sebab kita kena perhalusi,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pengurusan tertinggi Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Kerja Raya hari ini.
Beliau bagaimanapun berkata perkara berhubung potongan kadar tol tidak dibincangkan dalam mesyuarat hari ini.
-- BERNAMA