AM

MIMOS, SENSOREMTEK JALIN KERJASAMA PERKASA INDUSTRI SEMIKONDUKTOR

20/03/2025 06:03 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- MIMOS Berhad dan SensoremTek Sdn Bhd memeterai perjanjian kerjasama strategik bagi memperkasakan industri semikonduktor negara menerusi pengeluaran wafer sensor mikrofon MEMS (Micro-Electro-Mechanical Systems) berteknologi tinggi.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MIMOS Berhad Dr Saat Shukri Embong berkata kerjasama itu adalah langkah penting dalam mentransformasikan Malaysia menjadi hab semikonduktor bernilai tinggi.

"Dengan pelaburan dalam infrastruktur fabrikasi berteknologi tinggi, MIMOS mempercepat keupayaan pengeluaran tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap pembekal luar bagi teknologi MEMS yang kritikal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata MIMOS dengan sokongan pihak berkepentingan akan menyalurkan pelaburan bagi memperkukuh peranan loji fabrikasinya dalam rantaian bekalan ekosistem semikonduktor Malaysia.

"Kerjasama ini membolehkan MIMOS meningkatkan fabrikasi bahagian belakang (back-end) dengan teknologi bahagian hadapan (front-end) yang dipacu oleh SensoremTek menerusi pemindahan teknologi dan pemindahan ilmu," katanya.

Saat Shukri berkata SensoremTek akan membekalkan teknologi sensor mikrofon MEMS canggih selain menyokong aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara berterusan.

"Kerjasama ini bukan sekadar usaha perniagaan malah langkah berani ke arah mencapai kemandirian dalam pembuatan semikonduktor," katanya.

Menurut kenyataan itu, perjanjian berkenaan juga dijangka memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global Elektrik dan Elektronik (E&E), mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta menarik pelaburan langsung asing (FDI).

MIMOS dan SensoremTek turut komited melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang semikonduktor menerusi program latihan intensif sebagai usaha menyokong aspirasi Malaysia ke arah kepimpinan Industri 4.0.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan