GEORGE TOWN, 21 Mac (Bernama) -- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah mendapat kelulusan untuk memasang saluran paip air terawat baharu bernilai RM128 juta dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke Butterworth yang dijadualkan bermula pada tahun hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K. Pathmanathan dalam kenyataan hari ini memaklumkan kelulusan itu, diperoleh daripada pelbagai pihak berkuasa Persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Beliau berkata saluran paip besar 1.8 meter (m) itu akan menyambungkan titik outlet baharu LRA di Sungai Dua ke titik inlet baharu Saluran Paip Dasar Laut Berkembar ke-3 Pulau Pinang (PTSP ke-3) di Butterworth.
“Ia merupakan komponen penting Pelan Kontingensi Air ke-4 2030 (WCP 2030), yang akan membolehkan PBAPP mengepam lebih banyak air terawat daripada LRA terbesar dan terpenting Pulau Pinang ke pulau pada masa hadapan.
“Saluran paip LRA Sungai Dua-Butterworth dijangka sepanjang 13km, menjadikannya antara saluran paip utama terpanjang yang dipasang di Pulalu Pinang sejak PBAPP dikorporatkan sejak 26 tahun lepas.
“Atas faktor keselamatan, integriti kejuruteraan dan pertimbangan kos, PBAPP mesti memasang saluran paip di bawah tanah, merentasi atau di sepanjang petak tanah di Seberang Perai Utara (SPU) termasuk di bawah bidang kuasa LLM, serta yang berkaitan dengan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dan Lebuhraya Utara-Selatan (NSE),” katanya.
Pathmanathan berkata pihaknya juga merancang untuk memasang saluran paip baharu di bahagian pulau menerusi projek WCP 2030 ketiga yang melibatkan 3.9km x 1.8m untuk menyalurkan air terawat dari Sungai Dua ke Kompleks Kolam Air dan Stesen Pam Bukit Dumbar.
Beliau berkata dari Bukit Dumbar, air terawat akan dipam semula terutamanya ke daerah Barat Daya di bahagian pulau dan projek itu akan memanfaatkan 165,054 pengguna air di daerah Timur Laut serta Barat Daya termasuk 140,669 pengguna domestik dan semua syarikat multinasional di Bayan Lepas.
“Pada 2024, PBAPP mengepam purata 366 juta liter sehari (JLH) air terawat dari LRA Sungai Dua ke bahagian pulau termasuk 33 JLH yang diperlukan untuk mengekalkan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024),” katanya.
Sementara itu, Pathmanathan berkata pihaknya ketika ini sedang memuktamadkan penjajaran saluran paip baharu di SPU, selain turut berusaha menyegerakan kelulusan lain daripada pihak berkuasa seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepada (IADA) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Beliau berkata delegasi PBAPP pada 12 Mac lepas juga telah bertemu dengan Ketua Pengarah LLM Datuk Sazali Harun dan beliau pada dasarnya bersetuju dengan rancangan untuk memasang saluran paip merentasi atau di sepanjang tanah LLM, dengan syarat kerja-kerja air tidak menyebabkan isu besar di BORR atau NSE.
“Kami sedang berusaha secepat mungkin untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan daripada pihak berkuasa berkaitan. Berdasarkan penjajaran akhir, kemungkinan PBAPP akan terlibat dalam aktiviti pengambilan tanah kerana saluran paip itu pasti akan merentasi plot tanah milik persendirian di SPU.
“PBAPP memohon persefahaman, kerjasama dan sokongan semua pihak terlibat dan yang akan terlibat dalam projek saluran paip Sungai Dua-Butterworth. Kita perlu melaksanakan projek WCP 2030 ini tepat pada masanya bagi memastikan Pulau Pinang mempunyai bekalan air mencukupi sehingga 2030,” katanya.
-- BERNAMA