AM

DAFTAR PEMILIH TAMBAHAN FEBRUARI 2025 DIBUKA UNTUK SEMAKAN - SPR

21/03/2025 06:40 PM

PUTRAJAYA, 21 Mac (Bernama) -- Semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan Februari Tahun 2025 (DPT BLN2/2025) boleh dibuat untuk tempoh 30 bermula hari ini hingga 19 April ini, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak.

Beliau berkata DPT BLN2/2025 yang diperaku dan diwartakan hari ini mengandungi 34,889 nama warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 28 Feb 2025 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.

“Selain itu, ia mengandungi 12,938 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 1,332 pemilih bertukar status atau kategori pengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ikmalrudin berkata SPR menyediakan lima kaedah semakan iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my.

Kaedah lain termasuk aplikasi mudah alih MySPR Semak dan talian Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-8892 7218.

Beliau berkata SPR menyeru kepada warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 28 Feb 2025 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran kategori pengundi atau status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN2/2025.

"Sekiranya mereka mendapati nama mereka tidak disenaraikan dalam DPT BLN2/2025, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,”katanya.

Pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan raya, perlu mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan perlu dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN2/2025.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan