AM

K'JAAN SALUR RM50.61 JUTA BANTU MANGSA BANJIR DI JOHOR - AHMAD ZAHID

21/03/2025 06:44 PM

PUTRAJAYA, 21 Mac (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyalurkan dana sebanyak RM50.61 juta untuk membantu mangsa banjir di Johor, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata dana itu termasuk RM50 juta Bantuan Wang Ihsan (BWI), RM500,000 untuk pengurusan pengoperasian bencana dan RM114,609 bagi penyelenggaraan pusat pemindahan sementara (PPS).

“Saya menzahirkan rasa simpati terhadap para penduduk yang terjejas akibat banjir di daerah Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi, Pontian dan Kulai. Saya berharap semua mangsa banjir terus diberi kekuatan dan kesabaran, apatah lagi dalam musim persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pusat Kawalan Bencana Negara NADMA melaporkan sehingga 12 tengah hari ini, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di Johor adalah seramai 10,851 orang, berbanding 753 orang semalam.

Mengenai situasi banjir di negeri itu, beliau berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) telah menggerakkan aset pengoperasian bagi memastikan tindakan mencari dan menyelamat mangsa dapat dilakukan sebaiknya.

Di Johor, seramai 8,289 anggota penyelamat bertugas dan JPBN menyediakan 206 bot, 157 SUV/van, sembilan lori, 15 ambulans, dua pesawat udara dan satu dron untuk operasi banjir.

“NADMA juga telah mengeluarkan Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana pada 18,19 dan 21 Mac 2025 kepada Jawatankuasa Pengurusan Negeri dan Daerah apabila Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan.

“Notis ini bertujuan untuk meningkatkan kesiapsiagan bagi menghadapi bencana yang bakal berlaku di kawasan berisiko,” katanya.

Ahmad Zahid berkata negara dijangka memasuki fasa peralihan monsun yang boleh menggalakkan pembentukan awan ribut petir dan mengakibatkan kejadian hujan lebat berserta angin kencang dalam tempoh masa singkat.

“Apa yang membimbangkan kita ialah fenomena ini boleh menyebabkan banjir kilat dan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak serta komuniti setempat yang bertungkus lumus membantu mangsa banjir serta menghulurkan bantuan dan sumbangan dalam pelbagai bentuk.

“Ini termasuklah juga kepada badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Rakan NADMA seperti Pertubuhan Ihsan Johor dan Southern Volunteers yang telah menggerakkan 200 sukarelawan yang memberi tumpuan kepada bantuan segera makanan dan lain-lain bantuan berjumlah RM175,000,” katanya.

Bagi mengurangkan risiko kehilangan nyawa akibat fenomena cuaca berkenaan, Ahmad Zahid mengarahkan semua pihak berkuasa termasuk pejabat daerah dan agensi tindak balas agar membuat pemantauan rapi terhadap kawasan berisiko tinggi.

“Saya juga ingin menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan peka dengan perubahan cuaca sekarang sebelum merancang sebarang aktiviti terutamanya di musim perayaan yang bakal tiba tidak lama lagi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan