AM

PENDEPOSIT TH ZAHIR RASA SYUKUR ATAS AGIHAN KEUNTUNGAN

21/03/2025 07:03 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Beberapa pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) menzahirkan rasa bersyukur atas pengumuman agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.25 peratus bagi tahun kewangan 2024.

Tinjauan di media sosial mendapati mereka menghargai pencapaian TH sebagai institusi Islam yang bertanggungjawab mengurus dan menyediakan perkhidmatan haji secara komprehensif serta sistematik demi kebajikan Jemaah Malaysia.

Peniaga Siti Salwa Mat Radzi, 39, berkata beliau berpuas hati dengan agihan keuntungan TH meskipun ketika negara berdepan ketidaktentuan ekonomi. 

“Sebagai pendeposit yang telah menyimpan sejak 10 tahun lepas, saya bersyukur kerana ini dapat menambah jumlah simpanan saya untuk ke Tanah Suci, insya-Allah,” katanya.

Pekerja swasta Azim Aiman Azli, 22, pula menyifatkan pengumuman itu sebagai berita gembira di bulan mulia.

Azim Aiman, yang berterima kasih kepada TH kerana telah membantu beliau melunaskan zakat, berkata keuntungan itu dapat membantu meningkatkan simpanan pendeposit.

Bagi warga emas, Normah Abdullah, 71, walaupun sudah menunaikan ibadah haji sebelum ini hasil simpanan selama lebih 30 tahun, TH terus menjadi pilihan beliau untuk menyimpan kerana menawarkan agihan keuntungan berdasarkan pelaburan halal dan mematuhi prinsip syariah. 

TH hari ini mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.25 peratus bagi tahun kewangan 2024 iaitu kadar tertinggi dalam tempoh tujuh tahun sejak 2018.

Ia memberi manfaat kepada lebih 9.54 juta pendeposit. 

Pendeposit boleh menyemak Agihan Keuntungan 2024 yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula Ahad ini menerusi platform THiJARI, kaunter Tabung Haji, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat selain saluran elektronik bank rakan strategik Tabung Haji iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic serta AmBank Islamic.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan