KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) sebanyak RM500 kepada penjawat awam disambut dengan penuh kesyukuran dengan rata-rata penerima menyifatkannya sebagai kelegaan bermakna menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Seorang guru sekolah rendah, Mohammed Nor Syukri Saadan, 32, mengakui bantuan ini amat dinantikan bagi meringankan beban persiapan Aidilfitri, terutamanya dalam situasi ekonomi semasa.
“Saya sangat bersyukur kerana dengan bantuan ini, saya dapat membantu keluarga menyediakan persiapan Aidilfitri, termasuk membeli pakaian baharu dan barangan dapur,” katanya kepada Bernama.
Bagi pembantu tadbir di Jabatan Perdana Menteri, Nur Hazwani Nordin, 26, berita mengenai pemberian BKKA ini amat melegakan dan sebagai individu bujang, jumlah RM500 dirasakan mencukupi.
“Sekurang-kurangnya bantuan ini memberikan pendapatan tambahan untuk digunakan pada perayaan kali ini,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju menyalurkan BKKA sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah serta RM250 kepada pesara kerajaan.
Pembayaran akan dibuat pada Isnin ini.
Guru agama, Mohd Zamri Adom, menyifatkan pemberian ini sebagai tanda keprihatinan kerajaan di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya berharap pemberian bonus ini dapat diteruskan dan ditingkatkan pada setiap tahun sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap penjawat awam,” ujarnya.
Kementerian Kewangan dalam kenyataannya memaklumkan bahawa bantuan khas itu melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM900 juta.
Pembayaran BKKA dijangka memberi manfaat kepada lebih dua juta penjawat awam dan pesara kerajaan menjelang sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.
-- BERNAMA