AM

ORKID SEMENANJUNG MALAYSIA: PERMATA TERSEMBUNYI YANG PERLU DILINDUNGI

22/03/2025 05:51 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Bersempena Hari Hutan Sedunia, pakar menekankan kepelbagaian spesies orkid di Semenanjung Malaysia serta kepentingan pemuliharaan tumbuhan unik ini yang memainkan peranan penting dalam ekosistem tempatan.

Sesi perkongsian bertajuk "Orkid Semenanjung Malaysia: Khazanah Tersembunyi Alam Semula Jadi" diadakan hari ini bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan orkid di negara ini.

Sesi itu menampilkan Pakar Orkid dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Ong Poh Teck, yang berkongsi pandangan berharga mengenai penyelidikan serta inisiatif pemuliharaan yang sedang dijalankan.

“Ramai yang tidak menyedari peranan penting yang kami mainkan dalam pemuliharaan orkid. Program seperti ini membantu acara seperti ini membantu merapatkan jurang itu," katanya kepada Bernama.

Menurut Ong, Semenanjung Malaysia mempunyai kepelbagaian spesies orkid yang luar biasa, dengan 20 peratus daripadanya bersifat endemik dan hanya terdapat di rantau ini.

Ketika membincangkan cabaran yang dihadapi orkid liar di Malaysia, Ong mengenal pasti dua ancaman utama, iaitu kemusnahan habitat dan pengutipan berlebihan untuk perdagangan komersial.

Beliau menekankan kepentingan penyelidikan asas yang dijalankan oleh FRIM, khususnya dalam bidang taksonomi, yang memainkan peranan utama dalam menilai status pemuliharaan pelbagai spesies orkid. Maklumat ini amat penting dalam merangka strategi berkesan bagi melindungi tumbuhan tersebut.

Ong turut berkongsi fakta menarik mengenai strategi pendebungaan orkid Malaysia, dengan menegaskan bahawa orkid mempunyai kepelbagaian bentuk, warna, dan bau yang luar biasa.

"Sebagai contoh, sesetengah orkid mengeluarkan bau seperti buah-buahan untuk menarik lalat buah, manakala yang berbau busuk seperti daging reput menarik lalat bangkai. Dengan mengkaji ciri-ciri unik ini, kita dapat meramal serangga yang berkemungkinan menjadi pendebunga bagi setiap spesies," katanya.

Sesi itu turut menekankan peranan masyarakat dalam pemuliharaan orkid. Ong menggalakkan peminat orkid untuk membezakan antara spesies yang dikumpul dari hutan dengan yang dibiak secara terkawal, bagi mengelakkan eksploitasi orkid liar.

Beliau berkongsi bahawa sepanjang kerjayanya, beliau telah mendokumentasikan hampir 40 spesies orkid baharu dari Semenanjung Malaysia, sekali gus memperlihatkan keunikan biodiversiti flora negara.

Para peserta acara turut berpeluang melawat herbarium dan tapak semaian FRIM, fasiliti yang kebiasaannya tidak dibuka kepada orang awam dan memberikan mereka pengalamanm mengenai usaha pemuliharaan yang dijalankan oleh institut itu.

Melalui acara sebegini, FRIM terus memperkukuh kesedaran serta penglibatan orang awam dalam usaha pemuliharaan spesies orkid unik di Malaysia, bagi memastikan kelangsungannya untuk generasi akan datang.

Acara hari ini turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) FRIM Dr Norwati Muhammad, serta Pengarah Bahagian Biodiversiti Hutan FRIM Dr Wan Mohd Shukri Wan Ahmad.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan