LABUAN, 22 Mac (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM1.6 juta bagi pelaksanaan skim bantuan makanan berbungkus untuk golongan asnaf di pulau bebas cukai ini.
Pengurus MAIWP Labuan Md Fadzli Md Saad berkata skim tahunan itu melibatkan penyediaan 144,000 bungkus makanan sepanjang tahun dengan agihan 600 pek sehari selama 20 hari setiap bulan.
"Agihan makanan ini dilaksanakan oleh pengendali trak makanan yang dilantik dan ia bertujuan memastikan golongan asnaf mendapat makanan yang mencukupi setiap hari," katanya ketika berucap pada Majlis Iftar MAIWP bersama Asnaf di Desa Tunas Hijau malam ini.
Majlis tersebut turut meraikan 720 asnaf bersama keluarga mereka.
Md Fadzli memaklumkan bahawa semua penerima bantuan terdiri daripada mereka yang berdaftar sebagai penerima Bantuan Sara Hidup MAIWP merangkumi pelbagai kategori seperti ibu tunggal, warga emas dan asnaf yang mempunyai ramai tanggungan.
Dalam majlis itu juga, seramai 240 ketua keluarga asnaf menerima sumbangan bakul makanan dengan kos keseluruhan RM36,000 manakala 100 anak-anak asnaf menerima sumbangan duit raya sebanyak RM50 setiap seorang.
Selain itu, Surau Fath Al-Bari di Pusat Koreksional Labuan turut menerima sumbangan bernilai RM50,000 untuk pelaksanaan Program Pendidikan dan Kerohanian Prospek.
-- BERNAMA