GEORGE TOWN, 23 Mac (Bernama) -- Pasukan Polis Marin mematahkan cubaan menyeludup keluar syabu bernilai lebih RM700,000 ke negara ini melalui perairan Teluk Kumbar susulan penahanan lima lelaki warga Indonesia dalam Op Khas Penyeludupan Dadah, antara pukul 3 hingga 7 pagi semalam.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu ACP Rusley Chi Ari berkata kesemua suspek ditahan berhampiran Pantai Teluk Bayu, dekat Sungai Batu, ketika cuba melarikan diri.
“Bertindak atas maklumat daripada Unit Risikan Marin (URM), bot ronda kami mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di perairan Teluk Kumbar. Suspek bertindak membuang barang kes sebelum melarikan diri ke daratan di Pantai Teluk Bayu, Sungai Batu.
“Bagaimanapun, hasil kecekapan pasukan operasi, kesemua suspek berjaya diberkas berhampiran lokasi bot yang ditinggalkan beberapa jam selepas kejadian. Bot yang mereka naiki tenggelam akibat pelanggaran dengan batu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Rusley, hasil pemeriksaan, pasukan operasi berjaya merampas 22 bungkusan teh Cina yang mengandungi plastik lut sinar berisi ketulan mampat kristal jernih disyaki syabu seberat 22.772 kilogram dengan nilai anggaran RM728,704.
Selain dadah, polis turut merampas sebuah kereta Hyundai Tucson bernilai RM150,000 serta empat telefon bimbit pelbagai jenama bernilai RM5,000, menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM833,704.
Kesemua suspek yang berusia antara 20-an hingga 40-an direman sehingga 28 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Menurut Rusley, Op Khas Penyeludupan Dadah dijalankan di perairan Pulau Pinang dari 20 hingga 27 Mac, melibatkan 22 pegawai dan anggota, termasuk dua pegawai kanan polis.
-- BERNAMA