AM

MELAKA PERKENAL DUA INISIATIF UNTUK KEBAJIKAN ORANG ASLI

24/03/2025 10:16 AM

MELAKA, 24 Mac (Bernama) -- Melaka memperkenalkan dua inisiatif untuk masyarakat Orang Asli di negeri ini dalam usaha memelihara kesejahteraan dan kebajikan komuniti berkenaan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata inisiatif berkenaan ialah perlindungan insurans kesihatan dan khairat kematian untuk pemimpin komuniti serta bantuan persekolahan murid Orang Asli.

"Perlindungan insurans kesihatan dan khairat kematian berkenaan melibatkan 93 pemimpin komuniti seperti Tok Batin, Lembaga Adat dan Jawatankuasa Pengurusan dan Pembangunan Kampung Orang Asli (JPPKOA) melibatkan peruntukan sebanyak RM40,000.

"Bagi bantuan persekolahan pula melibatkan sebanyak 700 murid prasekolah hingga pelajar sekolah menengah melibatkan peruntukan sebanyak RM700,000," katanya kepada pemberita selepas Program Wacana Kepimpinan Orang Asli dan Iftar Ramadan di sini malam tadi.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Mohd Zambri Mustajap dan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Ab Rauf berkata inisiatif berkenaan diperkenalkan sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan masyarakat sejahtera dan berdaya saing menerusi aspek kebajikan, pendidikan dan peluang ekonomi agar setiap rakyat dapat menikmati manfaatnya tanpa ada yang terpinggir atau tercicir.

"Kerajaan negeri sentiasa mementingkan keperluan masyarakat Orang Asli Melaka bagi memastikan bahawa mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan dan dapat menikmati kemajuan yang seimbang dengan masyarakat lain.

"Kita juga akan terus berusaha mempertahankan adat, budaya dan warisan masyarakat Orang Asli agar tidak pupus ditelan zaman dan sehingga kini terdapat seramai 1,986 Orang Asli di Melaka," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan