DUNIA

SERANGAN PEMISAH DI PAPUA, SEORANG MAUT MANAKALA ENAM CEDERA

24/03/2025 11:37 AM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 24 Mac (Bernama) -- Serangan oleh puak pemisah di wilayah Papua, Indonesia mengorbankan satu nyawa dan mencederakan enam yang lain, menurut kenyataan pihak tentera.

Serangan berlaku pada Jumaat lalu di Anggruk, wilayah Yahukimo dan kumpulan itu turut bertindak membakar beberapa kemudahan pendidikan.

"Pasukan keselamatan dikerahkan bagi memindahkan mangsa serta mengawal keadaan," kata jurucakap tentera, Brigedier Jeneral Kristomei Sianturi.

Pihak berkuasa menyalahkan kumpulan Organisasi Papua Merdeka (OPM) yang diketuai Elkius Kobak atas serangan itu.

Kumpulan berkenaan didakwa menuntut wang daripada para guru sebelum bertindak ganas dengan melakukan serangan dan membakar kemudahan pendidikan.

Ekoran kejadian itu, seramai 42 guru dan petugas kesihatan dipindahkan ke Jayapura bagi menjamin keselamatan mereka.

Pasukan keselamatan kini memperketat kawalan di kawasan terlibat dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam usaha menjejaki serta menangkap pelaku serangan.

"Angkatan Tentera Nasional Indonesia (TNI) tidak akan berdiam diri terhadap tindakan kejam dan pengecut seperti ini," tegas Kristomei.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan