JENAYAH & MAHKAMAH

APRIL 28 KEPUTUSAN RAYUAN PEGUAM NEGARA BERHUBUNG DOKUMEN TAMBAHAN KES NAJIB

24/03/2025 06:26 PM

PUTRAJAYA, 24 Mac (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menetapkan 28 April untuk menyampaikan keputusan berhubung permohonan Peguam Negara bagi mendapatkan kebenaran merayu berhubung kewujudan dokumen tambahan dalam kes melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan oleh Peguam Negara Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dan peguam Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

"Kami tidak akan membuat keputusan hari ini. Kami menetapkan 28 April untuk keputusannya pada 9.30 pagi," kata hakim Hasnah, yang bersidang bersama hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.

Terdahulu Mohd Dusuki dalam penampilan pertamanya di mahkamah selepas dilantik sebagai Peguam Negara, mencadangkan tujuh persoalan undang-undang, dan menyatakan bahawa beliau telah memenuhi syarat ambang untuk kebenaran diberikan di bawah Seksyen 96 (a) dan (b) Akta Mahkamah Kehakiman (CJA) 1964. 

“Soalan yang dicadangkan ialah sama ada Peraturan 7(3A) Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994 mengenakan ambang yang lebih tinggi kepada pihak yang ingin memperkenalkan bukti baharu atau tambahan dengan menghendaki bukti "pengaruh penentu", yang melebihi ambang "pengaruh penting" yang ditetapkan dalam Ladd v Marshall, dan sama ada beban pembuktian mengenai kewujudan bukti baharu atau tambahan terletak yang dipertikai terletak kepada AG apabila bertindak semata-mata di bawah Perintah 53 Kaedah 3(3) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Mohd Dusuki berkata persoalanan yang dibangkitkan adalah kepentingan awam yang mustahak, kerana penentuan mahkamah ini terhadap soalan-soalan itu akan memberikan panduan penting kepada mahkamah mengenai pendekatan yang betul dalam menangani permohonan untuk mendapatkan bukti tambahan dan baharu di peringkat rayuan.

Peguam Negara turut berhujah bahawa perkara berhubung semakan kehakiman Najib adalah tidak wajar. 

"Ini kerana responden pada hakikatnya cuba melangkaui atau berselindung di sebalik kata-kata jelas perintah utama, perkara yang tidak wajar untuk disemak oleh mahkamah yang mulia ini," katanya.

Mohd Dusuki berkata perkara itu melibatkan "prerogatif tinggi yang boleh dilaksanakan" oleh Yang di-Pertuan Agong, yang kini mencetuskan perdebatan serius dalam kalangan orang ramai, yang mengukuhkan lagi keperluan untuk mahkamah ini memberikan jawapan kepada soalan yang dikemukakan. 

"Ini menunjukkan bahawa keputusan oleh mahkamah yang mulia ini akan membabitkan manfaat awam," tambahnya.

Sementara itu Muhammad Shafee berhujah bahawa persoalanan berkaitan undang-undang yang dibangkitkan oleh pemohon tidak mencapai kriteria untuk diberi kebenaran, sehubungan itu perlu ditolak oleh mahkamah.

"Responden tidak boleh dihalang daripada mengemukakan bukti tambahan kerana pemohon gagal memberikannya," katanya.

Pada 6 Jan, dalam keputusan majoriti 2-1, Mahkamah Rayuan mengembalikan kes atas tuntutan Najib mengenai kewujudan dokumen tambahan yang dikatakan membenarkannya menjalani baki hukuman penjara enam tahunnya di bawah tahanan rumah, ke Mahkamah Tinggi untuk didengar atas meritnya.

Najib, 71, dalam permohonan semakannya memohon perintah mandamus bagi mengarahkan responden memberi jawapan serta mengesahkan kewujudan dokumen tambahan bertarikh 29 Jan tahun lepas.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut memohon perintah agar sekiranya dokumen tambahan tersebut wujud, semua responden atau mana-mana seorang daripada mereka melaksanakannya serta-merta, termasuk memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur bagi menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Pada 3 Julai tahun lepas, Hakim Datuk Amarjeet Singh yang menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman, memutuskan bahawa empat afidavit yang dikemukakan bagi menyokong dakwaan Najib termasuk kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dianggap sebagai khabar angin dan tidak boleh diterima sebagai bukti di mahkamah.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Tinggi sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.

Beliau kemudiannya memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022, dan Lembaga Pengampunan pula kemudiannya mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan