AM

ALAM FLORA CATAT PENURUNAN KUTIPAN SISA PEPEJAL SEPANJANG RAMADAN

24/03/2025 09:53 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) mencatatkan penurunan kutipan sisa pepejal domestik sepanjang 20 hari Ramadan tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Shariman Yusuf Mohamed Zain berkata jumlah kutipan di ibu negara menurun hampir 23 peratus kepada 29,300 metrik tan tahun ini berbanding 38,000 metrik tan pada 2024.

Beliau berkata di Pahang, kutipan menurun 6.43 peratus kepada 13,100 metrik tan berbanding 14,000 metrik tan tahun lepas, manakala di Putrajaya sama seperti tahun lepas iaitu 2,000 metrik tan.

“Penurunan jumlah sisa domestik di Kuala Lumpur dipengaruhi pengurangan bilangan bazar Ramadan daripada 112 lokasi pada 2024 kepada 66 lokasi pada tahun ini.

“Pengurangan tersebut, memberi impak langsung kepada jumlah sisa yang terkumpul kerana jumlah pengunjung dan aktiviti perniagaan di bazar turut berkurangan, seterusnya menyebabkan pengurangan sisa yang dihasilkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shariman Yusuf memberi jaminan perkhidmatan kutipan sampah serta pembersihan awam di Kuala Lumpur, Kuantan dan Putrajaya akan berjalan seperti biasa sepanjang sambutan Aidilfitri minggu depan.

Beliau berkata kerjasama semua pihak untuk mengasingkan sisa makanan dan bahan kitar semula mengikut garis panduan program pengasingan sisa daripada punca yang diperkenalkan kerajaan amat penting dalam memastikan kebersihan di kawasan masing-masing.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan