EKONOMI

AME ELITE JUAL TIGA HARTANAH PERINDUSTRIAN DI JOHOR KEPADA AME REIT PADA HARGA RM100.8 JUTA

24/03/2025 10:05 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- AME Elite Consortium Bhd (AME Elite) merancang untuk menjual tiga hartanah perindustrian di Johor, seluas 3.579 hektar kepada AME Real Estate Investment Trust (AME REIT) pada harga RM100.8 juta dalam transaksi dengan pihak berkaitan.

AME REIT dalam satu kenyataan hari ini berkata ia akan memperoleh hartanah daripada anak syarikat penjaminnya, AME Elite merangkumi satu hartanah perindustrian di i-Park @ Senai Airport City dan dua hartanah perindustrian di i-TechValley di Kluster Logistik Perindustrian Selatan.

“Hartanah yang dalam pembinaan itu menampilkan kilang berkembar satu tingkat dengan pejabat di aras mezanin dan bangunan sampingan, dengan jumlah keluasan kawasan boleh disewakan adalah kira-kira 2.7549 hektar.

“Urus niaga itu menyokong strategi pertumbuhan AME Elite dan AME REIT,” kata syarikat itu.

Bagi AME Elite, jualan itu membolehkan pelaburan semula dalam rancangan pembangunan taman perindustriannya dan meningkatkan aliran pendapatan berulangnya menerusi pelaburan strategik dalam AME REIT.

Seterusnya, AME REIT dapat meningkatkan portfolionya dengan aset yang mampu menghasilkan pendapatan berkualiti, menjana pendapatan dan pengagihan yang stabil kepada pemegang unitnya.

“Cadangan urus niaga secara strategiknya menyokong pelan pengembangan kami dengan menambah nilai aset yang dipajak, membolehkan kami melaburkan semula modal dalam pembangunan taman-taman perindustrian pada masa hadapan, sambil mengukuhkan asas pendapatan berulang menerusi pelaburan kami dalam AME REIT.

“Dengan permintaan yang kukuh terhadap taman perindustrian dan penyelesaian ruang perindustrian bersepadu kami, urus niaga ini membolehkan kami mempercepatkan kemajuan pembangunan i-TechValley di Johor, Northern TechValley di Pulau Pinang dan initiatif pertumbuhan strategik di Lembah Klang menerusi perrkongsian kami dengan KLK Land dan MoU dengan SD Guthrie,” kata Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AME Elite Dylan Tan Teck Eng.

AME Elite merancang untuk memperuntukkan sebahagian besar keuntungan daripada urus niaga bagi pembangunan berterusan i-TechValley, pembangunan hartanah perindustrian pada masa depan dan projek pelaburan termasuk pengambilalihan tanah dan usaha sama, yang dijangka berlaku dalam tempoh 36 bulan selepas urus niaga dimuktamadkan.

Urus niaga tersebut merupakan penjualan hartanah perindustrian ketiga AME Elite kepada AME REIT, selain empat hartanah perindustrian bernilai RM119.5 juta yang sedang dalam proses urus niaga.

Sebaik sahaja selesai cadangan pelupusan, AME Elite berkata ia dijangka mengiktiraf anggaran keuntungan ke atas pelupusan, cukai bersih dan bahagian oleh kepentingan bukan kawalan iaitu kira-kira RM25.8 juta, sambil nilai aset keseluruhan pro forma AME REIT dijangka meningkat kira-kira 20.6 peratus kepada RM856.7 juta susulan urus niaga tersebut.

Kemudian, apabila cadangan pengambilalihan itu selesai dan baki tiga hartanah daripada urus niaga yang sedang berlangsung, portfolio AME REIT akan merangkumi 44 aset dengan nilai pasaran meningkat kepada RM911.2 juta. 

Urus niaga itu dijangka selesai dalam beberapa fasa daripada suku ketiga 2025 hingga suku pertama 2026.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan