AM

PDRM TIANG SERI DUKUNG KEAMANAN, KEMAKMURAN NEGARA - PM ANWAR

25/03/2025 03:00 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pengorbanan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai tiang seri yang mendukung keamanan dan kemakmuran negara. 

Justeru sempena Ramadan, beliau mengajak rakyat untuk merenung serta menghargai pengorbanan anggota PDRM yang bertugas siang dan malam demi memastikan umat Islam dapat beribadah dan menjalani kehidupan dengan tenang.

“Sebagai rakyat Malaysia, menjadi tanggungjawab kita untuk menghargai usaha PDRM dalam mengekalkan keamanan. Kami berterima kasih atas segala jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan demi Malaysia yang tercinta!” katanya menerusi catatan di Facebook, hari ini.

Sambil mengucapkan selamat menyambut Hari Polis ke-218, Anwar berharap PDRM terus cemerlang dalam melaksanakan amanah dipikul, dan negara terus menikmati keamanan serta kemakmuran yang berkekalan.

“Pada hari penuh bermakna ini, kita bersama-sama menyambut Hari Polis ke-218 mengenang dan menghargai jasa serta pengorbanan anggota PDRM yang terus berbakti dan menumpahkan taat setia memastikan keamanan dan kesejahteraan negara tercinta,” katanya.

Mengimbau kembali sejarah PDRM, Perdana Menteri berkata sejak penubuhannya bermula dari Home Guard pada 25 Mac 1807, ia telah memainkan peranan penting dalam menegakkan undang-undang dan ketenteraman awam.

“Sejarah PDRM bermula sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, dengan jawatan seperti Temenggung bertindak sebagai pelaksana dan penguat kuasa undang-undang adat dan syariah.

“Peranan ini berkembang dengan penubuhan pasukan polis moden, bermula di Pulau Pinang dan seterusnya di negeri-negeri lain, membawa kepada pembentukan Pasukan Polis Negeri-Negeri Selat pada 1871,” kata Perdana Menteri.

Anwar berkata dalam menghadapi ancaman komunis pada era Darurat (1948-1960) dan ancaman keganasan berikutnya, PDRM melalui pasukan Cawangan Khas menunjukkan ketangkasan dan kecekapan dalam mengumpul risikan serta melaksanakan operasi yang berjaya mengekang ancaman tersebut.

Usaha gigih itu memastikan kestabilan negara terpelihara dan rakyat hidup dalam suasana aman, katanya.

Di peringkat serantau pula, Perdana Menteri berkata PDRM terus memperkukuh kerjasama dengan negara-negara ASEAN melalui wahana seperti ASEANAPOL serta INTERPOL dan ia penting bagi mengekalkan kestabilan rantau terutama dalam menghadapi ancaman jenayah rentas sempadan dan keselamatan siber.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan