KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Penggiat industri perfileman dan drama tempatan perlu lebih bertanggungjawab dalam berkarya supaya bebas daripada unsur bertentangan akidah dan nilai Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Mengulas isu paparan unsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam drama tempatan, beliau berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengeluarkan garis panduan yang jelas sebagai rujukan pihak produksi.
"Kalau dikatakan ada unsur LGBT dan memang jelas nilai bertentangan Islam, sepatutnya kita tidak bawa (hasilkan), apatah lagi ditayangkan semasa Ramadan, bulan mulia (kepada umat Islam).
"Apa nilai hendak kita bawa? sebab saya rasa drama juga memainkan peranan penting dalam membentuk akhlak dan masyarakat," katanya kepada pemberita selepas menyertai program World #QuranHour 2025 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai sebuah drama yang ditayangkan di stesen televisyen berbayar tempatan yang mendapat kritikan ramai baru-baru ini kerana memaparkan unsur tidak bermoral.
Sementara itu, berhubung situasi di Gaza, Mohd Na'im menegaskan umat Islam perlu bersatu dan senada dalam mempertahankan hak rakyat Palestin seperti terkandung dalam surah As-Saff, iaitu surah pilihan pada edisi World #QuranHour kali ini.
Surah As-Saff, antara lain mengandungi seruan supaya umat Islam bersatu dan mencontohi semangat Hawariyyun, iaitu pembantu agama Allah dalam kalangan pengikut Nabi Isa A.S, dalam menyebarkan nilai-nilai al-Quran ke seluruh dunia.
"Umat Islam di seluruh dunia perlu bersatu bagaikan 'bunyanun marsus' iaitu satu binaan kukuh dalam memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin daripada cengkaman zionis Israel," katanya memetik kalimah yang disebut dalam surah tersebut.
Mohd Na'im berkata beliau sedang mempertimbangkan untuk bacaan doa qunut nazilah selepas solat sunat Aidilfitri bagi mendoakan kesejahteraan saudara Islam di Gaza.
World #QuranHour 2025 yang memasuki edisi ke-10 berlangsung serentak di 313 lokasi melibatkan 79 negara.
Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat menyertai program itu di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.
-- BERNAMA