LABUAN, 25 Mac (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM3.3 juta tahun ini untuk perolehan peralatan kesihatan, bantuan perubatan am dan bantuan rawatan dialisis di Labuan.
Pengurus MAIWP Labuan Md Fadzli Md Saad berkata peruntukan tahunan itu bertujuan mengurangkan beban Hospital Labuan yang mempunyai permintaan tinggi terhadap perkhidmatan penjagaan pesakit dan peralatan perubatan.
Md Fadzli berkata MAIWP menjadi rakan kongsi utama untuk sokongan kesihatan awam di pulau ini kerana sering membantu merapatkan jurang bagi perolehan peralatan perubatan dan pembiayaan kebajikan pesakit terutamanya mereka yang berpendapatan rendah.
"MAIWP komited meneruskan kerjasama dengan penyedia penjagaan kesihatan dan memperluas program bantuan pada tahun-tahun akan datang," katanya pada majlis penyerahan sumbangan kepada Pengarah Hospital Labuan Dr Adnan Musa Balidran di hospital berkenaan, di sini hari ini.
Selain itu, MAIWP turut menyediakan RM50,000 dalam pembiayaan perubatan untuk membantu penduduk Labuan yang kurang berkemampuan bagi mendapatkan rawatan perubatan segera.
Bersempena dengan Aidilfitri tidak lama lagi, MAIWP turut mengagihkan bantuan wang tunai RM27,000 kepada 180 pesakit bagi meringankan beban mereka, dan mengedarkan 500 pek makanan bernilai RM9,000 kepada petugas penjagaan kesihatan sebagai tanda penghargaan atas dedikasi berterusan mereka.
Sementara itu, Dr Adnan berkata bantuan berkenaan akan membolehkan petugas penjagaan kesihatan menjalankan tugas mereka dengan lebih berkesan terutamanya ketika menghadapi jumlah pesakit yang ramai, di samping keperluan untuk kemudahan perubatan yang dinaik taraf.
Hospital Labuan merupakan satu-satunya hospital kerajaan di pulau berkenaan yang menampung keperluan rawatan dan perubatan yang semakin meningkat bukan sahaja untuk penduduk di pulau ini, tetapi juga pesakit dari daerah berhampiran di Sabah dan Sarawak.
Sumbangan oleh MAIWP itu tepat pada masanya dan pihak hospital akan terus meningkatkan perkhidmatan yang diberikan termasuk rawatan dialisis, perkhidmatan kecemasan dan rawatan pesakit luar.
-- BERNAMA