AM

DEWAN NEGARA LULUS RUU ILTIZAM KECEKAPAN PERKHIDMATAN KERAJAAN 2025

25/03/2025 08:37 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15 melabuhkan tirai hari ini setelah bersidang selama 12 hari bermula 3 Mac lepas, menyaksikan 10 Rang Undang-Undang (RUU) diluluskan.

Dewan Negara, antaranya, meluluskan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia 2024 (RUU MMM 2024) dan RUU BERNAMA (Pindaan) 2024 di bawah Kementerian Komunikasi serta RUU Kumpulan Wang YTAR (Pindaan) 2025 di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

Selain itu, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 dan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 di bawah Jabatan Perdana Menteri turut diluluskan.

Turut diluluskan ialah RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2025 dan RUU Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2025 di bawah Kementerian Kewangan.

Hari terakhir persidangan menyaksikan RUU Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025 di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, RUU Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon 2025 di bawah Kementerian Ekonomi, serta RUU Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 di bawah Jabatan Perdana Menteri turut diluluskan.

Sementara itu, antara tumpuan persidangan kali ini adalah kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, ke Dewan Negara bagi bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2025 pada 20 Mac.

Perdana Menteri turut menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mustafa Musa mengenai pencapaian dan keberkesanan fungsi serta komposisi lembaga pengarah Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang menetapkan standard pencapaian dan integriti dalam operasi pelaburan serta perkhidmatan.

Pada 11 Mac, dua Ahli Dewan Negara mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah. Mereka ialah Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL) Prof Emeritus Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman serta Setiausaha Organisasi DAP Selangor Tiew Way Keng.

Dewan Negara pada 13 Mac meluluskan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja dengan majoriti Ahli Dewan Negara bersetuju berbanding yang tidak bersetuju setelah ia dibahaskan selama lima hari bermula 3 Mac.

Sesi tersebut disusuli dengan penggulungan oleh 28 kementerian yang terlibat.

Antara isu yang dibangkitkan semasa sesi perbahasan adalah berkaitan perpaduan, sekolah vernakular, kecerdasan buatan (AI), Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) dan isu beras campur.

Pada 3 Feb lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15.

Awang Bemee Awang dalam ucapan penangguhan mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua Ahli Dewan Negara kerana mengambil bahagian membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja serta kesemua RUU yang dibawa dari Dewan Rakyat.

Beliau berkata peranan jawatankuasa pilihan khas Dewan Negara juga terus diperkukuh dan dua penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negara telah dibentangkan pada sesi kali ini, iaitu Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Tatakelola, Integriti dan Anti Rasuah serta Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-Undang.

“Usaha ini bukanlah usaha yang kecil. Ahli-ahli jawatankuasa telah menjalankan satu lagi komponen dan fungsi legislatif dalam proses semak dan imbang terhadap kuasa-kuasa eksekutif, khususnya berkaitan isu-isu yang telah diteliti,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada beberapa senator yang menamatkan tempoh perkhidmatan, selain mengucapkan selamat maju jaya dengan jasa mereka akan dikenang oleh negara.

Beliau juga mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua senator dan mereka yang meraikannya serta menasihatkan agar berhati-hati di jalan raya semasa pulang ke kampung.

Persidangan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan