PEKAN, 25 Mac (Bernama) -- Tiada kata yang dapat menggambarkan betapa gembiranya Mohd Redzuan Abdul Razak, 50, dan keluarganya apabila impian untuk memiliki mahligai sendiri akhirnya menjadi kenyataan selepas hampir 20 tahun menumpang rumah saudara-mara.
Menganggapnya sebagai hadiah paling berharga dan begitu istimewa apatah lagi menjelang beberapa hari sebelum umat Islam meraikan Hari Raya Aidilfitri, bapa kepada dua orang anak itu berasa sangat bersyukur apabila lebaran kali ini dapat diraikan dengan penuh selesa di rumah sendiri.
Terpilih sebagai antara penerima program Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA), mekanik itu mengakui dengan pendapatan tidak pun mencecah RM1,000 sebulan, dia tidak mampu menyewa rumah yang selesa buat keluarganya sehingga terpaksa berpindah-randah sebanyak lima kali sepanjang 18 tahun.
“Syukur sangat apabila terpilih sebagai penerima rumah baharu Ru’RASA. Usaha saya untuk dapatkan sebuah rumah selesa buat keluarga sangat susah, pelbagai rumah kos rendah telah saya mohon bagaimanapun tidak berjaya.
“Alhamdulillah, selepas dua tahun mohon projek Ru’RASA, akhirnya saya berjaya memiliki rumah sendiri yang dibina di tanah emak di Kampung Ganchong Tengah. Terima kasih kepada Sultan Pahang yang prihatin dengan nasib kami dan tentunya sambutan Aidilfitri kali ini lebih bermakna,” katanya kepada pemberita hari ini.
Redzuan yang ditemui selepas majlis penyerahan kunci Ru'RASA berkata rumah yang berkonsepkan sesebuah setingkat dan bernilai RM75,000 itu akan dijaganya dengan baik dan tidak akan disia-siakan.
Bahkan, beliau merancang untuk memperbesar lagi mahligai pertamanya itu sekiranya ada rezeki lebih di kemudian hari.
“Hendak dapat sebuah rumah begitu susah, jadi saya bersama keluarga sangat menghargainya apatah lagi mendapatkannya secara percuma. Syukur dan saya juga rancang untuk membuka bengkel kecil di belakang rumah,” katanya.
Redzuan merupakan antara seorang daripada 15 penerima Ru'RASA di daerah Pekan yang terpilih untuk menerima sebuah rumah secara percuma dengan dua reka bentuk iaitu Rumah Jenis Sesebuah Setingkat dan Rumah Jenis Sesebuah Bertiang.
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyerahkan kunci rumah kepada 15 penerima daripada pelbagai kampung di daerah Pekan. Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Program Ru’RASA merupakan inisiatif Sultan Pahang bersama Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan bertujuan menyediakan perumahan yang selesa dan dibina dengan ciri-ciri keselamatan bagi kawasan sering dilanda banjir.
Kos pembinaan bagi Rumah Jenis Sesebuah Setingkat ialah RM75,000 manakala Rumah Jenis Sesebuah Bertiang RM118,000 dengan pembinaan bagi kedua-duanya mengambil masa 16 minggu.
Dalam pada itu, Sultan Pahang berharap pemberian itu akan membantu mengurangkan beban yang ditanggung mereka menjelang hari-hari yang mendatang.
“Dan bolehlah berhari raya di rumah baharu. Saya harap (penerima rumah) dapat tinggal dengan penuh keselesaan dan penuh kesejahteraan. Dan daripada itu, saya hendak (ucapkan) terima kasih kepada pihak raja UAE dan juga pihak wakil UAE yang ada hari ini. Terima kasih kerana berada di sini," titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah projek Ru’RASA tidak mempunyai kuota spesifik pembinaan dan jumlah projek adalah bergantung kepada peruntukan yang diterima.
“Peruntukan Ru’RASA banyaknya daripada UAE, saya cuma pemudah cara. Terima kasih, dalam beberapa tahun proses ini berjalan dengan baik dan mudah-mudahan program ini akan (dapat) ditambahkan lagi (pada masa akan datang), insya-Allah,” titah baginda.
-- BERNAMA