KUANTAN, 25 Mac (Bernama) -- Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) akan mengambil tindakan segera bagi mengurangkan kadar 30 peratus daripada petugasnya yang berdepan dengan masalah berat badan berlebihan atau obesiti.
Datuk Bandar Kuantan Datuk Razihan Adzharuddin berkata MBK mempunyai lebih 1,300 petugas dengan 30 peratus daripada jumlah itu dikesan mengalami masalah terbabit yang dilihat semakin membimbangkan.
“(Masalah obesiti) Memang tinggi pun (dan) memang mengejutkan. Kita (MBK) sebenarnya baru sahaja dapat lantik klinik panel dan dari situlah, kita dapat buat profil (kesihatan) semua staf kita.
“Hasil pemeriksaan, kita dapati keputusannya sebanyak 30 peratus petugas MBK adalah dalam kategori obes apabila mencatatkan bacaan jisim indeks tubuh (BMI) berlebihan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Penganjuran dan Peniaga Cemerlang Pasar Ramadan daerah Kuantan di sini hari ini.
Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan lebih lanjut sebagai usaha mencari strategi penyelesaian menangani masalah terbabit antaranya dengan mempertimbangkan untuk menghentikan penggunaan lif bagi tempoh satu hari bagi menggalakkan petugas menggunakan tangga.
Dalam perkembangan lain, Razihan berkata MBK berpuas hati dengan tahap pematuhan syarat yang dikenakan terhadap peniaga dan penganjur bazar Ramadan di bawah kawalan pihak berkuasa tempatan itu.
Beliau berkata lima daripada 21 penganjur telah dianugerahkan sebagai penganjur terbaik manakala 25 daripada 1,159 peniaga di 31 lokasi seluruh daerah itu menerima anugerah peniaga terbaik.
-- BERNAMA