KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Kementerian Pertahanan hari ini meraikan lebih 300 pengamal media pada majlis berbuka puasa di sini sebagai menghargai peranan golongan itu dalam menyokong usaha ke arah keamanan dan kestabilan negara.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam ucapannya berkata majlis itu merupakan simbolik pengukuhan kerjasama yang lebih erat antara Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan media.
“Ini adalah kesempatan untuk kami bukan hanya mengeratkan hubungan yang telah lama terjalin, tetapi juga untuk mengucapkan terima kasih kepada pengamal media atas sumbangan mereka yang sangat berharga dalam menyebarkan maklumat mengenai pertahanan negara,” katanya.
Mohamed Khaled turut menekankan peranan penting media dalam memastikan penyampaian berita yang tepat dan benar, terutamanya dalam menghadapi cabaran baharu seperti ancaman siber dan penyebaran maklumat palsu yang semakin berleluasa.
“Media memegang peranan utama dalam memastikan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara termasuk Kementerian Pertahanan dan ATM terus terpelihara. Kami amat menghargai sokongan media yang membantu rakyat memahami dengan jelas tugas dan tanggungjawab kami,” katanya.
Mohamed Khaled berharap agar kerjasama yang terjalin ini dapat diteruskan dan diperkukuhkan dalam usaha bersama menghadapi cabaran masa depan, khususnya dalam era digital yang penuh dengan cabaran baharu.
Hadir sama pada majlis itu Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera Jen Datuk Mohd Nizam Jaffar, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Jen (B) Tan Sri Azizan Ariffin serta Pengerusi Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) Jen (B) Tan Sri Dr Abdul Aziz Zainal.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Nasriah Darus dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Bernama Mohd Haikal Mohd Isa.
-- BERNAMA